Sabtu, 5 Januari 2013

Perintah pendidikan ugama mula berkuat kuasa

Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan - Kini bermula satu era baru dalam pendidikan ugama bagi Negara Brunei Darussalam, apabila Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 mula dikuatkuasakan hari ini.
Pelaksanaan perintah itu bukan sahaja menunjukkan komitmen negara untuk melahirkan insan dan rakyat Brunei yang berwibawa serta lengkap dari segi rohani dan jasmani tetapi juga menjunjung harapan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Sambutan Haji Guru ke-22 bertitah;
"Dengan berjalannya undang-undang ini, insya-Allah, tidaklah akan ada lagi kanak-kanak Islam di negara ini yang akan tercicir dari memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam.
"Tidak akan ada lagi orang yang tidak pandai sembahyang dan membaca Al-Quran."
Perintah itu adalah bagi kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah ugama yang bermakna seorang kanak-kanak Islam yang berumur tujuh tahun atau ke atas yang belum lagi mencapai umur 15 tahun dan yang memenuhi syarat-syarat untuk mendapat pendidikan ugama prasekolah dan rendah.
Manakala "Pendidikan Ugama" bermakna pendidikan ugama mengikut ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Perintah itu juga menyatakan mengenai tanggungjawab ibu bapa dimana tiap-tiap ibu bapa hendaklah, jika anaknya adalah seorang kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah ugama pada 1 Januari dalam tahun bersekolah semasa iaitu 2013, memastikan bahawa anaknya itu didaftarkan sebagai seorang murid di sebuah sekolah ugama pada tahun itu dan terus menjadi seorang murid bagi tempoh pendidikan ugama wajib.
Ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawabnya seperti di atas adalah melakukan suatu kesalahan di mana hukuman denda maksimum $5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada ibu bapa yang gagal mendaftarkan anak-anak mereka bersekolah ugama ketika Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013.
Kanak-kanak yang terkandung dalam perintah itu ialah kanak-kanak berumur wajib bersekolah ugama, yang berugama Islam, lahir pada atau selepas 1 Januari 2006, tinggal di Negara Brunei Darussalam dan kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka adalah warganegara Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap.
Menyentuh mengenai hukuman yang dikenakan bagi orang yang melakukan kesalahan, Perintah itu menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Bab 5(2) boleh jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi dari $5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dengan pelaksanaan perintah itu, kepada segenap lapisan masyarakat khususnya masyarakat Islam di negara ini, Islam akan terus utuh dan bertapak teguh dan iltizam kehidupan berugama akan dapat di perkasa dan dipertahankan serta terus dimartabatkan untuk sama-sama membangun ugama, bangsa dan negara ke arah mencapai Wawasan 2035 dan menjadikan sebuah negara yang aman makmur dan diberkati Allah Subhanahuwataala.
 
- Media Permata Online - Rabu, 2 Januari 2013.