Ahad, 21 Februari 2016

Keputusan peperiksaan agama melalui SMS

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Calon peperiksaan awam persekolahan Arab dan agama di bawah kawalan Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) akan mempunyai pilihan menerima keputusan peperiksaan apabila perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) diperkenalkan.
Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia LPPUB dan Bahagian Teknologi Maklumat, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan memperkenalkan dan melaksanakan perkhidmatan ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan yang sedia ada.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Bahagian Peperiksaan, JPI, KHEU selaku Setiausaha LPPUB, Haji Shamsol bin Haji Omar semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU petang tadi.
Beliau menjelaskan, usaha ini merupakan kolaborasi bersama DST Communications Sdn Bhd (DSTCom) sebagai penyedia perkhidmatan telefon mudah alih dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) sebagai pembekal kandungan dan fasilitator teknikal bagi perkhidmatan ini.
Pelaksanaan perkhidmatan SMS ini bertujuan untuk memudahkan setiap calon yang mengikuti peperiksaan di bawah kawalan LPPUB, KHEU untuk mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing melalui SMS dengan penghantaran keputusan yang lebih terjamin dan selamat. Ia turut memelihara kerahsiaan keputusan peperiksaan calon-calon daripada penyebaran secara terbuka sama ada melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan sebagainya, tambah beliau.
Perkhidmatan ini nanti akan dapat digunakan untuk keputusan peperiksaan-peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), Pra-sijil Tinggi Pelajaran Ugama Seri Begawan (Pra-STPUB), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (Darjah VI) – (SSRU) dan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA).
Manakala itu, bagi perkhidmatan keputusan Peperiksaan SSRU, ibu bapa atau penjaga calon yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki mendaftar terlebih dahulu sama ada secara online atau melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit.
Menurut beliau, pendaftaran secara online boleh dibuat menerusi laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu www.kheu.gov.bn dan klik tajuk pautan pengumuman pendaftaran SMS dan mengisi laman borang pendaftaran. Bagi pendaftaran melalui perkhidmatan SMS, hendaklah menaip KHEU [jarak] REG [jarak] NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN [jarak] NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST.
Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan melalui SMS tanpa sebarang kos dan pendaftaran akan bermula pada 19 Februari 2016. Keputusan peperiksaan SMS ini hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan dan pelanggan akan dikenakan caj bayaran sebanyak $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.
- Media Permata Online. Jumaat 8 Jamadilawwal 1437H / 19 Februari 2016M.

Khamis, 18 Februari 2016

KHEU perkenalkan keputusan peperiksaan melalui SMS

  • Oleh:  Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Mahadi Haji Marsidi
    • BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Februari. - Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dan Bahagian Teknologi Maklumat, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan memperkenalkan dan melaksanakan pengumuman keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sebagai khidmat tambahan, di samping perkhidmatan yang sedia ada.
      Usaha ini adalah kolaborasi bersama DST Communications Sendirian Berhad (DSTCom) sebagai penyedia perkhidmatan telefon mudah alih dan Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. (MachTel) sebagai pembekal kandungan dan fasilitator teknikal bagi perkhidmatan ini.
      Ketua Bahagian Peperiksaan, JPI, KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar selaku Setiausaha LPPUB menjelaskan perkara tersebut dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan-peperiksaan Awam Persekolahan Arab dan Ugama Melalui Pekhidmatan SMS yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas, di sini.
    • 180216 MAHDI4 SMS
      KETUA  Bahagian Peperiksaan, JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar (dua dari kanan) selaku Setiausaha Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dalam Sidang Media menjelaskan mengenai Pengumuman Keputusan Peperiksaan-peperiksaan Awam Persekolahan Arab dan Ugama Melalui Pekhidmatan SMS.
      Terdahulu, Awang Haji Shamsol menjelaskan, KHEU melalui Bahagian Peperiksaan, JPI selaku Urus Setia LPPUB bertanggungjawab untuk mengeluarkan keputusan peperiksaan-peperiksaan seperti Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB); Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB); Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB); Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (Darjah VI) - (SSSRU); dan Pemilihan Calon Ke Sekolah Arab (PCKSA).
      Jelasnya,  pengumuman keputusan peperiksaan-peperiksaan berkenaan selalunya  diedarkan terus ke sekolah-sekolah berkenaan dan setiap calon akan mendapatkan keputusan peperiksaan melalui slip penyataan keputusan di sekolah masing-masing.
      Dengan yang demikian, calon-calon, ibu bapa dan penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki mendaftar terlebih dahulu sama ada pendaftaran secara ‘online’ atau melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit.
    • 180216 MAHDI2 SMS
      ANTARA pegawai yang hadir mendengarkan penjelasan mengenai Keputusan Peperiksaan-peperiksaan Awam Persekolahan Arab dan ugama yang akan dibarigakan Melalui Pekhidmatan SMS (atas dan bawah).
    • 180216 MAHDI3 SMS
    • Pendaftaran secara ‘online’ ujarnya, boleh dibuat menerusi laman sesawang KHEU, iaitu www.kheu.gov.bn.
      Manakala pendaftaran melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit tambahnya, hendaklah menaip : KHEU [jarak] REG [jarak] NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN [jarak] NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST.
      Beliau seterusnya menjelaskan, pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan (percuma) dan pendaftaran akan bermula pada hari Jumaat, 19 Februari 2016.
      Keputusan peperiksaan SMS jelasnya, hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan.
      Beliau seterusnya menjelaskan, pelanggan akan dikenakan caj bayaran sebanyak BND1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.
      Dengan adanya perkhidmatan ini beliau berharap akan dapat memudahkan calon-calon, ibu bapa atau penjaga untuk mengetahui keputusan peperiksaan dengan cepat dan tepat.
      Dalam pada itu, tujuan perlaksanaan perkhidmatan SMS bagi pengumuman keputusan peperiksaan-peperiksaan awam persekolahan Arab dan Ugama adalah untuk memudahkan setiap calon yang mengikuti peperiksaan-peperiksaan di bawah kawalan LPPUB, KHEU untuk mendapatkan keputusan peperiksaan secara individu melalui perkhidmatan SMS serta memudahkan ibu bapa untuk mengetahui keputusan anak-anak mereka secara individu dengan cepat dan tepat.
      Dengan penghantaran keputusan peperiksaan secara individu, maklumat yang dihantar akan lebih terjamin dan selamat dan Memelihara kerahsiaan keputusan peperiksaan calon-calon dari penyebaran secara terbuka sama ada melalui aplikasi WhatsAppFacebook atau sebagainya.
    • - Pelita Brunei Online. Jumaat. 10 Jamadilawwal 1437H / 19 Febuari 2016.

Khamis, 21 Januari 2016

Sesi persekolahan agama bermula

  • Oleh:  Berita dan Foto : Noraisah Muhammed
    • SERIA, Khamis, 7 Januari. - Kemasukan dan pendaftaran Murid- Murid Darjah Pra Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi bagi semua sekolah agama di keempat-empat buah daerah bermula hari ini.
      Seramai 89 orang murid baharu darjah pra tadika telah memulakan sesi persekolahan agama mereka di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Seria.
      08012016 NORAISAH PRA UGAMA 2
      ANTARA 89 orang murid yang dibahagikan kepada empat kelas darjah pra tadika iaitu Darjah Pra Alif, Ba, Ta dan Sa.

      Guru Besar, Dayang Hajah Zahrah binti Yahya berkata, dari seramai 89 murid-murid tersebut, 48 darinya adalah murid lelaki, manakala 41 adalah murid perempuan dan dibahagikan pada empat kelas pra tadika, iaitu Darjah Pra 'Alif', 'Ba', 'Ta' dan 'Sa'.
      Para ibu bapa juga mendengar penerangan mengenai peraturan-peraturan sekolah termasuk waktu kehadiran ke sekolah.
      "Alhamdulillah setiap tahun ada penambahan murid-murid yang memulakan persekolahan ugama mereka di sini dan pihak sekolah sudah mengatur serta membuat pelbagai persiapan untuk pembelajaran mereka seperti aktiviti suai kenal, membersihkan bilik darjah serta menyediakan buku-buku teks," jelasnya.
      08012016 NORAISAH PRA UGAMA 1
      GURU Besar Sekolah Ugama PAP Rashidah Sa'adtul Bolkiah, Seria, Dayang Hajah Zahrah binti Yahya, ketika menyampaikan taklimat.
      Guru Besar SU PAP Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Seria berharap dari taklimat berkenaan, ibu bapa akan dapat mengambil berat mengenai pelajaran agama anak-anak mereka, memastikan mereka hadir setiap hari bersekolah agama dan mengikuti perkembangan serta kemajuan mereka dan memberi sokongan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.
      Sementara itu, tinjauan Pelita Brunei ke SU Panaga, Seria menyaksikan sekolah berkenaan menerima seramai 66 orang murid baharu terdiri daripada 33 lelaki dan 33 perempuan.
      08012016 NORAISAH PRA UGAMA 5
      KECERIAAN jelas terbayang di wajah murid-murid pra yang memulakan pembelajaran di Sekolah Ugama Panaga, Seria.
      Guru Besar, Dayang Mariam binti Haji Mumin semasa menyampaikan taklimat menekankan tentang Undang-undang Wajib Ugama 2012 yang telah dinyatakan dalam Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Guru Ke-22, 2012.
      Beliau menekankan beberapa peraturan sekolah seperti kehadiran disiplin murid termasuk tentang waktu persekolahan.
      08012016 NORAISAH PRA UGAMA 4
      IBU bapa berserta anak-anak mereka yang mendaftar di Sekolah Ugama Panaga, Seria.
      Guru Besar SU Panaga, Seria berharap agar murid-murid dapat terus maju jaya dalam bidang pelajaran khususnya pendidikan agama yang berguna untuk dunia dan juga akhirat.
    • - Pelita Brunei Online. Sabtu. 09 Januari 2016M.

Program Keagamaan realisasikan Rancangan Strategik JPI

  • Oleh:  Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
    • BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Januari. - Seramai 170 pelajar dan 65 guru agama dari Sekolah Menegah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) yang terlibat dalam program penghayatan beragama telah mengikuti Program Keagamaan Senegara Persekolahan Arab Bagi Bulan Januari 2016 Masihi/1437 Hijrah.
      Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berhasrat untuk meningkatkan dan memantapkan sistem pendidikan dan pelajaran agama menerusi pengurusan dan pendekatan yang berkesan dan dinamik melalui persekolahan Arab, persekolahan agama dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunah, Perlembagaan Negara, Falsafah Negara Melayu Islam Beraja (MIB), Falsafah Pendidikan Negara dan undang-undang yang berkaitan.
      JPI berharap usaha tersebut dapat dicapai melalui Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab Bagi Bulan Januari 2016M/1437H yang diselenggarakan di keempat-empat daerah yang bermula pukul 8.00 pagi bagi sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah Arab dan pukul 2.00 petang bagi semua sekolah-sekolah agama seluruh negara.
      120116 FILA2 SEKANTARA guru-guru agama (atas) dan pelajar-pelajar perempuan (bawah) yang hadir pada Program Keagamaan Senegara Persekolahan Arab di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
      120116 FILA1 SEK
      Program berkenaan bermula dengan sesi Tazkirah yang dibacakan oleh Awang Saiful Wafi bin Haji Adis, bacaan Ratib Al-Attas dan Selawat-selawat Nabi yang diketuai oleh Awang Haji Mohd. Wa'ez bin Haji Ramli dan seterusnya bacaan doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Di-Pertua Majlis Pelajar 2015/2016, Awang Mohammad Rohaidi bin Johaidi.
      Di antara matlamat program ini diadakan adalah untuk merealisasikan Rancangan Strategik JPI ke arah meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah agama dan Arab, di samping melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum.
    • - Pelita Brunei Online. Rabu. 13 Januari 2016M.

Selasa, 19 Januari 2016

Pelajar ITQSHHB diingatkan agar sentiasa istiqamah

  • Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd Sahrizal Haji Said
    • TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi.
      TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi.
      BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Januari. - Para pelajar baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) diseru supaya dapat menunjukkan kesungguhan dan ketekunan semasa mengikuti pengajian di institut tersebut.
      Berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud juga menyeru para pelajar institut berkenaan agar memenuhi hati dan jiwa raga dengan keikhlasan demi untuk menyahut dan menerima amanah Allah Subhanahu Wata’ala untuk menjaga dan memelihara kitab suci Al-Qur'an.
      Yang Mulia Dato Paduka juga mengingatkan para pelajar agar sentiasa istiqamah dan bijak membuat keputusan dalam menghafaz Al-Qur'an, di samping mempelajari mata pelajaran yang lain.
      Katanya, para pelajar juga perlu sabar dan tabah di dalam menghadapi apa jua rintangan dan cabaran semasa proses pembelajaran dan penghafazan, dekatkan diri dengan para pendidik dan pensyarah untuk meminta nasihat serta bimbingan.
      Terdahulu dari itu jelasnya, dengan kemasukan pelajar-pelajar baharu ini, ITQSHHB akan terus dapat mempertahankan kecemerlangan serta kejayaan dan membawa lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan dalam sama-sama menanaikan hasrat bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’.
      Institusi itu tambahnya, ditubuhkan bukan sahaja bertujuan bagi melahirkan modal insan yang memiliki satu-satu bidang semata-mata, akan tetapi juga dihasratkan, agar ia berjaya melahirkan lebih banyak modal insan yang mantap ilmu Al-Qurannya, di samping memiliki kepakaran dalam bidang lain.
      “Inilah yang ‘negara’ mahukan, generasi yang mantap Al-Qur'annya dan menjadikan ilmu Al-Qur'an itu sumber ilmu dan pegangan bagi membentuk pembangunan negara,” tegasnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, ITQSHHB.
      Mengambil berkat dan hikmah dengan sempena memperingati hari kelahiran Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Yang Mulia Dato Paduka menyeru kepada semua pelajar baharu untuk mengenali dan mencontohi Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ‘Uswah Hasanah’ (sebaik-baik contoh) bagi semua umat Islam, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang bercita-cita untuk menghafaz kitab suci Al-Qur'an.
      Sebagaimana yang kita ketahui tambah Yang Mulia Dato Paduka, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menerima wahyu daripada Allah Subhanahu Wata’ala melalui malaikat Jibrail ‘alaihissalam lalu Baginda jaga wahyu tersebut dan seterusnya mengamalkannya serta menyebarkannya sepertimana yang kita terima sekarang ini iaitu Al-Qur'an Al-Karim.
      Yang Mulia Dato Paduka seterusnya menjelaskan, Baginda juga hadir sebagai ‘sebaik-baik makhluk’ di muka bumi ini adalah kerana pada Baginda akhlak yang sangat sempurna iaitu ‘akhlak Al-Qur'an’.
      Berhubung kait dengan itu juga jelasnya, dapatlah kita semua fahami bahawa akhlak memainkan peranan yang sangat penting khususnya ketika menimba ilmu pengetahuan.
      “Oleh itu, saya juga ingin menasihatkan dan memperingatkan kepada semua pelajar, sudah menjadi tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Islam untuk menjaga ibadatnya terutamanya sekali sembahyang fardu lima waktu, lebih-lebih lagi di dalam usaha menjadi seorang huffaz di era globalisasi yang cukup mencabar ini. Hadapi cabaran dan dugaan ini dengan penuh kesabaran dan ketakwaan,” ujarnya.
      Berkat usaha yang gigih daripada para pendidik di institut ini serta penglibatan dan kerjasama padu yang berterusan dari pihak ibu bapa serta penjaga, InsyaaAllah, kita akan dapat melahirkan lebih ramai para huffaz, tokoh ugama serta ilmuwan dengan calak Al-Qur'an yang akan dapat memberikan sumbangan ilmiah yang sangat bernilai kepada agama, masyarakat, negara dan bangsa seperti yang diharapkan.
      ‘Miftahul falah’ (kunci kejayaan) terletak di bahu para pendidik, para pelajar serta kerjasama yang diberikan daripada ibu bapa / penjaga pelajar itu sendiri.
    • - Pelita Brunei Online. Khamis, 14 Januari 2016M.

ITQSHHB terima kemasukan 53 pelajar baharu

  • Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
    • TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyerahkan mushaf Al-Qur'an kepada salah seorang pelajar baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi bagi peringkat menengah.
      TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyerahkan mushaf Al-Qur'an kepada salah seorang pelajar baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi bagi peringkat menengah.
      BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Januari. - Seramai 53 pelajar baharu iaitu 35 lelaki dan 18 perempuan diterima masuk ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi bagi peringkat menengah.
      Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar  Baharu ITQSHHB yang berlangsung di Dewan Kuliah, institut berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.
      Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an yang dibacakan oleh pelajar Tahun 10 ITQSHHB yang pernah menjadi wakil negara ke Musabaqah Hafazan Al-Qur'an di Maghribi pada tahun 2015, Awang Auni Marzuqi bin Haji Anuar.
      Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dalam ucapannya menjelaskan, daripada jumlah pelajar baharu yang diterima masuk, seramai 42 pelajar dalam kalangan pelajar lepasan sekolah-sekolah Arab, manakala 11 pelajar lagi merupakan pelajar lepasan sekolah aliran umum dan juga sekolah swasta.
      140116 RIZAL PELAJAR TAHFIZ 2TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyerahkan mushaf Al-Qur'an kepada salah seorang pelajar baharu.
      Jelasnya, taklimat kemasukan pelajar telah diadakan pada 9 Januari yang lalu bertujuan untuk menerangkan kepada ibu bapa / penjaga pelajar mengenai dengan sistem pengajian tahfiz dan juga apa-apa jua keperluan dan maklumat berhubung dengan kemasukan pelajar ke institut berkenaan.
      Beliau menambah, pelajar-pelajar baharu telah mula mendaftar masuk pada 12 Januari dengan mengikuti Minggu Ta’aruf pelajar baharu yang mana telah diadakan seawal hari pendaftaran sehinggalah hari sabtu ini.
      “Tujuan utama Minggu Ta’aruf diadakan adalah bagi proses pembudayaan atau suai kenal bagi pelajar-pelajar baharu khususnya tentang sistem pembelajaran Al-Qur'an dan akademik, cara menyesuaikan diri tinggal di asrama dan juga saling mengenali kawan-kawan baharu mereka. Semua ini adalah diharap dapat membantu para pelajar untuk menyesuaikan diri mereka kepada persekitaran yang baharu dengan lebih cepat dan berkesan,” ujarnya.
      140116 RIZAL PELAJAR TAHFIZ 3UCAPAN alu-aluan oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.
      Tambahnya, pelbagai aktiviti telah dan akan dilaksanakan sepanjang Minggu Ta’aruf ini sebagai pengisian yang berguna seperti ‘qiamullail’, solat berjemaah, kuliah agama, tazkirah, bengkel menambat serban bagi menghidupkan Sunnah Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, taklimat-taklimat, acara sukan dan riadah serta program amal dengan mengadakan Majlis Membaca Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja.
      Beliau seterusnya berharap para pelajar baharu akan bersedia dari saat ini dengan penuh kerelaan hati dan kesedaran bahawa menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu Al-Qur'an merupakan satu usaha yang sangat murni dan terpuji.
      Justeru itu, beliau amat berharap para pelajar akan sentiasa berusaha dengan gigih, mendisplinkan diri dan tunjukkanlah keperibadian yang mulia, akhlak seorang ahli Al-Qur'an kerana ahli Al-Qur'an adalah kerabat Allah yang mempunyai keistimewaan.
      Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan mushaf Al-Qur'an kepada pelajar-pelajar baharu serta bacaan ikrar beramai-ramai.
      Ini diikuti dengan penyerahan senarai pelajar baharu kepada Pemangku Pengetua ITQSHHB yang melambangkan penyerahan amanah kepada institut berkenaan untuk mendidik pelajar-pelajar berkenaan di sepanjang pengajian mereka.
      Juga hadir, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, para ibu bapa serta pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan ITQSHHB.
      Majlis ini merupakan acara kemuncak kepada program Minggu Ta’aruf (orientasi) bagi pelajar-pelajar baharu yang telah diadakan selama lima hari bermula 12 hingga 16 Januari ini.
    • - Pelita Brunei Online. Khamis, 14 Januari 2016.

Aliran sekolah Arab mempunyai hala tuju

  • Oleh:  Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Masri Osman
  • MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa ditemu bual oleh wakil media tempatan.
    MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa ditemu bual oleh wakil media tempatan.
    BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Januari. - Pencapaian kelayakan penuntut-penuntut untuk masuk ke Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), dilihat daripada mata pelajaran umum, memang terdapat peningkatan dan juga penurunan perbandingan pada tahun lepas.
    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa ditemu bual selepas berinteraksi dengan para pelajar Pra U1 di salah sebuah kelas SMALHB menjelaskan, pada umumnya pencapaian itu melayakkan mereka yang lulus untuk melanjutkan ke tahap Pra U dan memulakan pengajian mereka pada tahun ini.
    "Yang menggembirakan, bilangan kemasukan itu boleh dikatakan bertambah daripada tahun lepas iaitu seramai 185 orang dan pada tahun ini menerima kemasukan seramai 312 orang," ujar Yang Berhormat.
    Menteri Hal Ehwal Ugama menambah, selepas berinteraksi bersama para ibu bapa dan penjaga para pelajar, rata-rata mereka memilih sekolah berkenaan kerana pendidikannya.
    “Ertinya bukan sahaja ilmu keagamaan boleh didapati tetapi juga disiplin diri untuk hidup sebagai seorang Islam yang baik yang boleh didapatkan daripada pendidikan sekolah Arab ini,” jelas Yang Berhormat.
    Menyentuh mengenai hala tuju para penuntut aliran sekolah Arab pula, Yang Berhormat menjelaskan, daripada mula sekolah Arab ditubuhkan pada tahun 60-an, bukan sahaja sekolah berkenaan mengandungi pelajaran Arab tetapi juga pelajaran umum.
    Tambahnya, para pelajar ada yang memilih aliran agama iaitu Lughah, Usuluddin, Syariah dan ada juga yang memilih aliran Umum iaitu Umum 1 dan Umum 2.
    Mereka yang memilih aliran umum, jelas Yang Berhormat, pada tahun ini mencatatkan seramai 40 orang daripada 312 orang yang merupakan satu petanda yang baik.
    Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, hala tuju mereka sebagaimana yang sudah terbukti bukan sahaja di pusat pengajian tinggi di dalam negeri bahkan di luar negeri antaranya di Mesir, Jordan, Malaysia dan lain-lain.
    Tambahnya, yang membanggakan aliran umum misalnya ada pelajar yang menuntut di Australia, ada juga yang menuntut di Kolej Imperial dari biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
    Menurut Menteri Hal Ehwal Ugama, di sinilah menggambarkan bahawa aliran sekolah Arab mempunyai hala tujunya.
  • - Pelita Brunei Online - Isnin, 18 Januari 2016.