Khamis, 9 Jun 2016

Bulan Ramadan tidak jejas reputasi pelajar

Oleh:  Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Bulan Ramadan tidak menjejaskan reputasi setiap pelajar untuk terus menimba ilmu pengetahuan seperti hari-hari yang lain.

Pegawai Pelajaran Ugama, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohamad, selaku Penolong Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop berkata, sesi pembelajaran di sekolah-sekolah ugama pada bulan Ramadan lebih memfokuskan pada aktiviti membaca Al-Quran, pelajaran amali dan memperhalusi tajwid.

Menurutnya, para pelajar akan melakukan aktiviti bertadarus sepanjang bulan Ramadan ini bersama dengan guru-guru sebelum memulakan sesi pembelajaran.

080616 HERNIE01 UGAMA PAGI
PENOLONG Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohammad semasa ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI.

''Alhamdulilah, pelajar-pelajar tiada masalah dalam memberikan tumpuan pada pelajaran walaupun berpuasa kerana masa belajar yang singkat,'' katanya kepada Pelita Brunei.

Pelajar Darjah V Alif, Awang Muhd. Mirza Luqman bin Awang Roslie menjelaskan, datang bersekolah ugama pada bulan Ramadan sama sahaja seperti hari-hari biasa dan kebanyakan aktiviti tertumpu dalam meningkatan pembacaan Al-Quran.

Sementara itu, Dayang Imanina Nazihah binti Idris, pelajar Darjah V Ta meberitahu, perbezaan bersekolah ugama pada bulan Ramadan dari hari-hari biasa adalah waktu persekolahan yang singkat, iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 9.30 pagi pada sesi pagi. Ini membolehkannya untuk mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum menghadiri sekolah pada sesi petang.

Bagi Tengku Putri Nur Afifa Quo'ryrah binti Tengku Putra Haji Amir Farouk yang akan menghadapi Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSRU) berkata, bersekolah di bulan berkenaan membantunya untuk menghadapi peperiksaan itu nanti yang akan diadakan pada bulan Ogos ini.

Di samping itu, beliau juga banyak melakukan ulang kaji pada sebelah malam sebagai persiapan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

080616 HERNIE03 UGAMA PAGI
MURID Darjah 4 Alif Sekolah Ugama Lambak Kanan (sesi pagi), Awang Ahmad Amir Syukri bin Haji Ghazali seronok bersekolah ugama di bulan Ramadan.

Awang Ahmad Amir Syukri bin Haji Ghazali yang pertama kali bersekolah ugama di bulan puasa berkata, beliau berasa seronok kerana dapat bersama-sama rakan-rakannya melakukan aktiviti bertadarus dan membaca Al-Quran.

''Pada masa ini, saya sudah membaca Al-Quran hingga juzuk empat,'' kata pelajar Darjah IV Alif yang bersekolah di Sekolah Ugama Lambak Kanan ini.

- Pelita Brunei Online. Hari Khamis, 03 Ramadhan 1437H / 09 June 2016M.

Waktu Persekolahan Ugama Bagi Bulan Ramadhan 1437H

Waktu persekolahan bagi murid-murid sekolah ugama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama sepanjang bulan Ramadhan 1437H ini adalah seperti berikut:

  1. Murid-murid Pra, Darjah I, II dan III akan dicutikan sepanjang Ramadan hingga Syawal.
  2. Darjah IV, V dan VI akan hanya memulakan kelas dari jam 8 hingga 9.30 pagi iaitu bagi persekolahan ugama sesi pagi dan mulai jam12.30 tengah hari hingga 2.00 petang bagi persekolahan ugama sesi petang.

Berangkat tinjau perkembangan institusi persekolahan Arab


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Jun. - Institusi dan pendidikan persekolahan Arab di negara ini sentiasa dititikberatkan agar hala tuju pendidikan ugama dapat dicapai bagi melahirkan para ulama yang benar-benar mahir ilmu ugama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tiga buah institusi persekolahan Arab di ibu negara iaitu Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB), Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke persekolahan Arab ini menunjukkan keprihatinan baginda yang berterusan dalam perkembangan institusi persekolahan Arab, serta meninjau lebih dekat lagi mengenai tahap dan kualiti pendidikan persekolahan Arab di negara ini.

Persekolahan Arab di negara ini secara holistik menitikberatkan mengenai kepentingan pengajian ugama dan umum secara bersepadu dengan menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Arab dan Inggeris sebagai bahasa penghantar persekolahan.

060616 AZMI44 SPAB
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan melawat Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

060616 AZMI43 SPAB
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan melihat kertas peperiksaan semasa lawatan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memulakan keberangkatan lawatan baginda ke SPABSB dan telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Guru Besar SPABSB, Dayang Sarimah binti Haji Ahmad.

Sesi lawatan baginda dimulakan dengan meninjau pembelajaran murid-murid Tahun 5 dan 6 di sekolah tersebut dan seterusnya meninjau ke bilik-bilik guru, Bilik Syifa bagi Unit Medik, Dewan Mesyuarat dan Dewan Makan SPABSB.

SPABSB terletak di Kilometer 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan mula ditubuhkan pada tahun 1984 bagi menampung kemasukan awal murid-murid perempuan ke persekolahan Arab.

Dengan mempunyai 30 buah bilik kelas, SPABSB dilengkapi dengan dua Bilik ICT, Bilik Pentadbiran, Bilik Mesyuarat, sebuah kantin dan Pondok Pengawal Keselamatan.

060616 ASRI30 SUAMP
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan melawat Dewan Makan.

Sekolah tersebut menawarkan Mata Pelajaran Teras Ugama iaitu Al-Quran, Bahasa Arab dan At-Tarbiyyah Ad-Diniyyah; Mata Pelajaran Teras (Umum) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan MIB; dan Mata Pelajaran Wajib iaitu Social Studies, Khat, Amali Agama, ICT dan Pendidikan Jasmani.

Sehingga ke hari ini, SPABSB mempunyai keramaian seramai 959 orang yang terdiri daripada guru-guru seramai 84 orang, 24 kakitangan dan murid-murid seramai 851 orang iaitu 476 pelajar Tahun 5 dan 375 pelajar Tahun 6.

Kebawah DYMM kemudiannya meneruskan lawatan ke SUAMPRIPAD yang terletak berdekatan dengan SPABSB.

Keberangkatan tiba baginda ke SUAMPRIPAD dijunjung oleh Pengetua Sekolah berkenaan, Dayang Hajah Rusidah binti Haji Talip.

060616 ASRI5 SUAMP
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD).

060616 ASRI2 SUAMP
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan berangkat tiba dan beramah mesra bersama tenaga pengajar di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD).

Sekolah Ugama Arab telah memulakan pengajiannya di Bangunan Madrasah, Jabatan Hal Ehwal Ugama pada 1 Mac 1966 Masihi bersamaan 9 Zulkaedah 1385 Hijrah. Dalam pada itu, SUAMPRIPAD mula dibina dan diguna pakai pada 13 Jun 1967.

SUAMPRIPAD menempatkan sejumlah 1,197 pelajar yang menuntut di dalam Tahun 7 hingga 11 di mana sekolah tersebut mempunyai tanggungjawab yang besar dalam merealisasikan visinya iaitu 'Mewujudkan Bangsa Brunei Yang Beriman, Berilmu, Beramal, Berkemahiran Dalam Pelbagai Bidang Untuk Kesempurnaan dan Kebahagiaan Hidup di Dunia dan di Akhirat'.

Pelajar-pelajar yang bersekolah di SUAMPRIPAD berpeluang mengikuti Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Peperiksaan GCE 'O' Level sebelum tamat pengajian dari sekolah ini.

Turut mendapat perhatian Kebawah DYMM ialah prasarana dan kemudahan sekolah seperti tempat laluan dan letak kereta, Dewan Makan, surau dan bilik-bilik guru.

060616 AZMI11 SMAL
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama pelajar-pelajar.

060616 AZMI9 SMAL
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai.

Baginda telah membuat lawatan ke beberapa buah kelas bagi pelajar Tahun 7 dan berkesempatan meninjau murid-murid yang sedang menjalani Latihan Peperiksaan bagi Peperiksaan SPUB dan Peperiksaan 'O' Level.

Dari SUAMPRIPAD, baginda meneruskan lawatan ke SMALHB yang menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam (pra universiti) sepenuhnya.

Keberangkatan tiba baginda di SMALHB dijunjung oleh Pengetua Sekolah berkenaan, Dayang Hajah Norjainah binti Haji Buntar.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM mula-mula dijunjung bagi menyaksikan Galeri Sekolah yang mengetengahkan pencapaian SMALHB sepanjang 50 tahun penubuhannya.

060616 AZMI23 SMAL
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama tenaga pengajar SMALHB.

SMALHB keseluruhannya mempunyai seramai 91 pegawai dan kakitangan iaitu 60 pegawai dan guru di sekolah ini yang mana 56 orang daripadanya terdiri daripada warga tempatan.

Terdapat 491 pelajar menuntut di SMALHB iaitu 312 orang di Tahun Pra U1 dan 179 orang di Tahun Pra U2 dalam bidang pengajian Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab.

Dengan misi sekolah bagi 'Melahirkan Pelajar Yang Berpengetahuan, Sihat, Berakhlak Mulia, Bertaqwa dan Berketerampilan', SMALHB adalah mekanisme penting dalam usaha menjana warga Negara yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berkualiti serta mengamalkan nilai-nilai Islam berlandaskan Al-Quran dan Sunnah agar Negara Brunei Darussalam menjadi Negara Zikir yang tulen.

060616 ASRI22 SMAL
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah bersama pelajar SMALHB (atas), sementara gambar bawah Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah selepas Sembahyang Fardu Zuhur bersama pelajar SMALHB.

060616 ASRI23 SMAL

Sebelum menamatkan lawatan, Kebawah DYMM telah berkesempatan menyertai pelajar-pelajar untuk menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur secara berjemaah di surau sekolah berkenaan.

Surau SMALHB telah pun diubah suai dan siap dinaik taraf pada 30 Jun 2015 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak BND217,321.00 dan boleh menampung sejumlah 400 orang jemaah.

Turut hadir dalam lawatan keberangkatan Kebawah DYMM ke institusi persekolahan Arab ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha Tetap di JPM, Awang Yahya bin Haji Idris; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KHEU serta pegawai-pegawai kanan di KHEU.

- Pelita Brunei Online. Hari Isnin. 30 Sya'baan 1437H / 06 Jun 2016M.

Ahad, 29 Mei 2016

Majukan Pembelajaran Sekolah Ugama, Arab


Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said 


MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis.

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mei. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI) akan terus berusaha meningkatkan dan memajukan pembelajaran ugama serta persekolahan ugama dan Arab di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, tanggungjawab terhadap pelajaran ugama dan persekolahannya serta persekolahan Arab adalah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan.

Demikian jelas Yang Berhormat pada Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang 1436 Hijrah / 2015 Masihi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Yang Berhormat menambah tanggungjawab itu selaras dan seiring dengan tanggungjawab-tanggungjawab dalam bidang-bidang lain yang diurus dan dikendalikan oleh kerajaan.

"Itulah yang cantiknya sistem berkerajaan dan berpemerintahan beraja kita di Brunei. Sepanjang sejarah yang diketahui, ehwal ugama adalah ehwal negara dan kerajaan. Lalu sampai ke zaman ini pun demikian. Sehingga kesan pengaruh ugama itu sangat penting dalam sistem sosial-politik Brunei," ujar Yang Berhormat.

Menteri Hal Ehwal Ugama turut mengingatkan semula mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang letaknya ugama bagi Negara Brunei Darussalam iaitu di depan, jadi panduan.

Yang Berhormat menambah, kerana itu kita yang berkhidmat dalam urusan ugama, baik di Kementerian Hal Ehwal Ugama mahupun lain-lain kementerian dan agensi kerajaan, adalah bertanggungjawab untuk memastikan nilai ugama yang diletak di hadapan, jadi panduan itu benar-benar menepati maknanya iaitu dengan memberikan khidmat yang cemerlang dalam tugas dan tanggungjawab yang disandang, dengan semangat dan kesedaran yang tinggi sambil menyedari kepentingan bekerjasama akan memberikan khidmat yang cemerlang.

"Bekerjasama dalam berkhidmat itu tidak sahaja di kalangan sesama kita orang ugama bahkan dengan rakan-rakan di luar rangkaian perkhidmatan ugama. Itulah yang dilakukan dan berjalan dengan baik sejak dari awal lagi di mana Brunei menyaksikan dan mengalu-alukan anak watannya yang kembali dari belajar di luar negeri, dari United Kingdom dan dari Mesir pada awal tahun 60an telah diadun-serasikan untuk berganding bahu memberikan khidmat kepada tanah air di bawah kepimpinan bijaksana Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang kesinambungan dasar itu telah berkembang dengan baiknya pada era pemerintahan sekarang di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah," jelas Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dan hasilnya, ujar Yang Berhormat ialah Brunei menyaksikan dan mengalami kemantapan sosial politik berkat kerjasama dan persefahaman yang menyeluruh itu.

Menurut Yang Berhormat lagi, tugas dan tanggungjawab KHEU seterusnya ialah memastikan pelajaran dan persekolahan ugama dan Arab tetap signifikan dan relevan.

"Ke arah itulah sekarang hala tuju kita di kementerian meletakkan prioriti tugas yang akan disempurnakan dalam jangka waktu yang singkat, iaitu dalam bidang pelajaran ugama, persekolahan ugama dan Arab kita akan bekerja untuk mengemaskannya," terang Yang Berhormat.

Mengemaskannya, ujar Yang Berhormat bermaksud dari segi sukatan dan kurikulum khasnya bagi memastikan mutu pendidikan ugama yang diajarkan kepada anak-anak generasi Brunei benar-benar berhasil menjadikan mereka generasi muslim yang pandai membaca Al-Quran pada tahap yang sempurna, pandai dan mengamalkan ibadat terutama sekali sembahyang juga pada tahap yang sempurna.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M

290 pelajar cemerlang diberi penghargaan

Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Khamis, 26 Mei. - Seramai 290 orang pelajar cemerlang di bidang akademik dalam peperiksaan-peperiksaan awam bagi persekolahan Ugama dan Arab diraikan pada Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis penghargaan merupakan acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan pada tahun ini ianya diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan hadiah-hadiah penghargaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama  menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang penuntut dari Sekolah Pengajian Islam. 
YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang penuntut dari Sekolah Pengajian Islam.
 
Pada majlis tersebut, sebanyak lima kategori penghargaan diberikan iaitu, 128 pelajar terbaik dalam Penilaian Sekolah Rendah, 41 pelajar terbaik dalam Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah VI, 62 pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Ugama Brunei, 54 pelajar terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei dan lima pelajar terbaik dalam Brunei Cambridge – General Certificate of Education Advance Level (BCGCE 'A' Level).

Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang ini merupakan penghargaan yang berprestij bagi memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih pelajar-pelajar, sebagai insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

Selain itu untuk memberi penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar atas sokongan dan dorongan mereka dalam sama-sama memastikan kejayaan anak-anak mereka dan membarigakan kepada masyarakat mengenai kecemerlangan akademik yang dicapai oleh pelajar-pelajar persekolahan Ugama dan Arab dalam bidang-bidang Ugama / Arab dan Sains.

Salah seorang penerima pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini semasa ditemui mengongsikan cara pembelajarannya, di mana beliau akan mengulangkaji pelajaran selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh, dan mengambil rehat seketika sebelum meneruskan lagi ulangkaji beliau pada waktu pagi dan juga petang.

260516 RIZAL2 SIJILPENERIMA pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini.

Di samping itu, Dayang Nur Maizatul yang bersekolah di Sekolah Ugama Batalion Kedua, Tutong Kem menjelaskan bahawa beliau juga akan cuba menulis ringkasan daripada apa yang diulangkajinya selain mengikuti kelas-kelas tambahan yang diajar sendiri oleh guru subjek mereka.

Anak ketiga daripada empat beradik ini turut melahirkan harapannya yang ingin meraih lagi kejayaan yang cemerlang di peringkat seterusnya dan cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang doktor.
Sementara itu, Dayang 'Aliyah binti Haji Mat Dani, pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) merupakan pelajar terbaik dalam BCGCE 'A' Level dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama.

260516 RIZAL1 SIJILPELAJAR terbaik dalam BCGCE 'A' Level dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama (STPUB), Dayang 'Aliyah binti Haji Mat Dani dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

Menurutnya, cara beliau mengulangkaji pelajaran ialah dengan membahagikan buku-buku yang perlu diulangkaji dan tidak mencampuradukkan buku-buku tersebut agar tidak ada kekeliruan.

Memandangkan beliau mengikuti pengajian dalam dua aliran iaitu Arab dan peringkat 'A' Level, masa mengulang kaji pelajaran jelasnya, perlu dibahagikan, di mana beliau juga ada mengulang kaji bersama rakan-rakan kelas beliau iaitu melalui 'Study Group' kerana baginya ianya banyak membantu lagi dalam pelajaran mereka.

Perancangan masa depan Dayang 'Aliyah adalah untuk melanjutkan lagi pengajiannya di peringkat yang lebih tinggi di mana beliau sudah memohon bagi menyambung pengajian di beberapa buah universiti dalam dan juga luar negara.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M.

Rabu, 25 Mei 2016

Talaqqi sistem pengajaran secara bersemuka

Oleh:  Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 25 Januari. - Pengajaran dengan sistem talaqqi merupakan sistem tradisi yang diperkenalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri. Ini jelas bila mana Baginda mendapat wahyu dan mempelajari Al-Quran adalah melalui malaikat Jibril Alaihissalam.

Saban tahun juga hingga ke tahun kewafatan Baginda, Baginda mengulang, menghalusi dan mengemaskan bacaan di hadapan baginda Jibril Alaihissalam (maksud hadis riwayat Bukhari).

Baginda tidak mengulangnya sendiri meskipun Baginda sudah mengetahui cara bacaannya. Inilah yang digelar dalam istilah pengajaran dan pembelajaran sebagai bertalaqqi.

Sistem ini adalah metodologi-metodologi pengajian Islam tulen yang melahirkan para ulama Islam berkepakaran, berwibawa dan mempunyai sahsiah tinggi lagi terpuji.

Talaqqi ialah sistem pengajaran yang menuntut pertemuan guru dengan murid secara bersemuka. Sesi pengajaran dan pembelajaran adalah secara berdepan dan guru membaca kitab yang diajarkan dari kulit ke kulit. Di samping itu, para pelajar juga membaca di depan sang guru mengikut giliran yang bersesuaian.

260116 PR Talaqqi 2SEBAHAGIAN penuntut sedang menjalani sistem pengajaran pertemuan guru dengan murid secara bersemuka.

Seterusnya sesi talaqqi ini diisi dengan penerangan mendalam mengenai tajuk yang dipelajari dan para pelajar dipandu oleh guru tentang bagaimana memahami perbincangan kitab tersebut.

Guru yang mengajar pula adalah seorang yang mempunyai sanad yang bersambung zaman berzaman dan jika ia dalam kitab matan hadis ia akan bersambung sehingga pada sumber awal, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Ia merupakan tradisi pengajian Islam yang bertujuan untuk memastikan apa yang diterima oleh murid adalah betul, tepat dan benar-benar sejajar dengan apa yang disampaikan oleh Allah Subahanahu Wata'ala kepada murabbi awal, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sistem ini nampak agak ketat dan sangat teliti, namun sudah semestinya ia demikian kerana ilmu yang dicurah terima adalah berkait hal agama dan agama pula pemiliknya ialah Yang Maha Agung Pemilik alam maya ini. Justeru, tidak hairanlah pengajian talaqqi ini sangat tinggi tahap autoritinya.

Memandangkan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) merupakan institusi pengajian tinggi Islam tulen di negara ini yang diamanahkan untuk menggembleng upayanya demi melahirkan graduan yang soleh dan berwibawa, keperluan memperkenalkan keunikan metodologi pengajaran tradisi ini perlu menjadi agenda utama.

Yang demikian itu, UNISSA melalui Felo Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengadakan Program talaqqi kitab-kitab turath. Bahan bacaan yang akan diikuti dalam pengajian talaqqi ini juga merupakan kitab para ulama dan tokoh Islam terkemuka, antaranya kitab Ihya 'Ulumuddin, Matan Jawhar al-Tauhid, al-Rahiq al-Makhtum dan yang lainnya. Kitab-kitab ini banyak mencorak keperibadian tokoh-tokoh dan sarjana dunia sejak sekian lama.

Program berkenaan dimulai oleh pengajian talaqqi kitab Ilya 'Ulumuddin di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Usuluddin, Dr. Sayyed Abdul Hamid al-Mahdaly.

Program ini seterusnya dihasratkan untuk mendedahkan dan mendidik para pelajar UNISSA khususnya serta masyarakat amnya akan kaedah dalam berinteraksi dengan kitab-kitab turath.

Kitab turath ialah khazanah ilmu yang merupakan sumber primer dalam pengajian Islam di mana pengarangnya menghimpun segenap catatan ilmu dari kuliah dan halaqah talaqqi beliau bersama tuan gurunya.

Hal ini termasuklah catatan hadis dalam karya-karya para ulama hadis seperti Sahih Bukhari yang di dalamnya dihimpun hadis-hadis sahih yang diambil secara talaqqi daripada para guru Imam Bukhari sendiri justeru melalui tahap penilaian dan disusun mengikut kesesuaiannya.

Pengajian talaqqi kitab turath ini seterusnya diharapkan dapat memperkasa ilmu-ilmu asas yang menjadi tunjang dalam pengajian Islam lantas dapat membendung segala ancaman fahaman-fahaman baharu yang tidak sealiran dengan amalan beragama di Negara Brunei Darussalam.

Kepada yang berminat untuk mengikuti program ini dialu-alukan untuk menghubungi Felo Kolej Kediaman Siswa, UNISSA, Dr. Ahmad Baha Mokhtar, melalui talian +673 8643803 atau Felo Kolej Kediaman Siswi, UNISSA, Dayang Hajah Nurol Halimatulwara' binti Haji Mumin, melalui talian +673 8866875.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 27 Januari 2016M.

Persiapan penting hadapi peperiksaan

Oleh:  Berita dan Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim.

TEMBURONG, Khamis, 19 Mei. - Antara persediaan asas dalam persiapan menghadapi peperiksaan ialah semangat tinggi, pembacaan banyak, kefahaman jelas, ulang kaji berterusan dan keyakinan diri.

Perkara itu antara yang terkandung dalam tazkirah yang berlangsung dalam Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi dengan tumpuan media di Sekolah Ugama Negalang, Mukim Batu Apoi, di sini.

Tazkirah yang dibacakan oleh tenaga pengajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Idaham bin Haji Talib juga menjelaskan bahawa persediaan pada peringkat awal secara berterusan dengan mengamalkan cara kaedah pembelajaran yang betul adalah perlu dalam menghadapi peperiksaan secara berkesan.

Namun jelasnya, masih ramai juga pelajar yang tidak menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan banyak masa pada saat awal hinggalah ke akhirnya, malahan ramai menjadi hilang tumpuan pada saat-saat akhir.
190516 HEZ1 TEMB
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Ugama Negalang yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi.

Beliau seterusnya mengongsikan beberapa persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi peperiksaan antaranya mengorbankan perkara-perkara yang tidak penting seperti menonton televisyen, mengurangkan penggunaan internet, membaca novel dan sebagainya.

Persiapan juga termasuklah memulakan sesi pembelajaran atau mengulang kaji dengan niat untuk berjaya dan perlulah ke arah kebaikan dan disertai dengan keikhlasan, di samping sentiasa berfikiran positif.

Program dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Awang Mohammad Idaham yang juga membacakan Doa Peperiksaan dan diselajurkan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

Pada program anjuran Jabatan Pengajian Islam itu, Doa Khas Hari Keluarga dibacakan oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Negalang, Awang Mohammad Afandi bin Abdullah, sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh salah seorang pelajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Wabil bin Zunaidi.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.