Rabu, 25 Mei 2016

Lebih 70 murid sekolah ugama sertai program keagamaan

Oleh:  Berita dan Foto : Noraisah Muhammed

SUNGAI LIANG, Khamis, 19 Mei. - Jabatan Pengajian Islam (JPI) terus mengambil perhatian yang serius bagi menghadapi peperiksaan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah ugama seluruh negara.

Antara usahanya termasuklah mengadakan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, bacaan surah Yaa Siin dan Doa Peperiksaan serta Doa Khas Hari Keluarga.

Usaha yang bertemakan 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' menumpukan mengenai langkah-langkah yang wajar diambil perhatian oleh setiap pelajar sebelum menghadapi peperiksaan diikuti dengan aktiviti serta amalan dalam menghadapi peperiksaan.

Sehubungan itu, lebih 70 murid-murid sekolah ugama menyertai Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi Bulan Mei Daerah Belait yang diadakan di Sekolah Ugama Sungai Liang.

Program tersebut telah dibahagikan pada dua fasa, fasa pertama murid-murid Pra 1, darjah IV, V dan VI seramai 76 murid lelaki dan 60 murid perempuan bermula pukul 2.00 petang hingga 2.30 petang, manakala pada fasa kedua bermula pukul 3.30 petang hingga 4.00 petang melibatkan seramai 26 murid lelaki dan 21 murid perempuan dari darjah II dan III sekolah tersebut.

19052016 NORAISAH POGRAM KEUGAMAAN 1 
TAZKIRAH Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei di Sekolah Ugama Sungai Liang disampaikan oleh Awang Nazirul Adib bin Haji Anwar.

Ia dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Zuhur Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat, kemudian diteruskan dengan bacaan surah Yaa Siin, Doa Peperiksaan dan Tazkirah mengenai dengan persiapan peperiksaan setengah tahun sekolah ugama seluruh negara dan diakhiri dengan bacaan Doa Hari Keluarga dan Doa Peliharakan Sultan.

Tazkirah telah disampaikan oleh Awang Nazirul Adib bin Haji Anwar, antara lain memberikan tips dan langkah-langkah yang sewajarnya diambil perhatian oleh setiap pelajar antaranya pelajar hendaklah mempunyai pengorbanan yang besar terhadap pelajaran dengan mengetepikan pada perkara-perkara yang tidak penting dan membuang masa, selain perlu mengulangkaji pelajaran dengan niat untuk berjaya dan perlulah disertai dengan keikhlasan.

Beliau juga menekankan bahawa para pelajar perlu sentiasa menyemak jadual peperiksaan kerana ia sangat penting, serta sentiasa berfikiran positif dan menghindari dari rasa tertekan, para pelajar juga perlu bersedia dengan keperluan peperiksaan, memohon restu dan maaf daripada kedua ibu bapa serta guru mengajar.

19052016 NORAISAH POGRAM KEUGAMAAN 3 
PELAJAR Pra 1, darjah IV, V dan VI yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi Fasa Pertama, diadakan di Sekolah Ugama Sungai Liang.

"Para pelajar juga tidak boleh terlalu banyak ketawa dan bergurau senda yang melampau, yang mana boleh menyebabkan pertukaran cecair kimia badan menyebabkan fikiran akan terganggu dan hendaklah menjaga permakanan supaya tidak sampai berulang alik ke tandas yang mengakibatkan konsentrasi pelajar terganggu ketika menghadapi peperiksaan serta membanyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah," ujarnya.

Program itu adalah bagi merealisasikan Rancangan Strategik JPI untuk meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan Ugama, sekali gus meningkatkan keberkesanan program kokurikulum, di samping melahirkan akidah kukuh dan akhlak mulia melaluinya dengan penglibatan semua pelajar mengikuti program penghayatan agama.

Turut hadir Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan, serta Pembantu Pegawai Pengajian Islam, Pengiran Adiyura bin Pengiran Haji Mohammed. Juga hadir sama pegawai dari Unit Kenaziran, Dayang Hajah Hindun binti Haji Puting.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan