Selasa, 1 Julai 2014

SU Panaga tumpuan program keagamaan senegara

Oleh:  Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli

SERIA, Selasa, 24 Jun. - Program keagamaan senegara diadakan serentak seluruh negara melibatkan semua sekolah ugama dengan tumpuan sekolah dan perisian-perisian berbeza setiap bulan.

Di Daerah Belait, pusat tumpuan program kali ini di Sekolah Ugama Panaga dan perisian program merangkumi tazkirah mambaca tahlil dan doa arwah, membaca Surah Yaa Siin, membaca tahlil dan doa arwah serta membaca Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

240614 KEAGAMAAN DKS01
PEGAWAI Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan mengetuai rombongan menyaksikan pelaksanaan program.
(Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Progam dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah, Dayang Mariam binti Haji Momin yang antara lain menerangkan tujuan membaca tahlil dan doa arwah dalam program tersebut bagi memupuk minat para pelajar dan mempraktikkan pembacaan tahlil dan doa arwah.

Selain itu kata beliau, ia juga bertujuan bagi mengetengahkan kebolehan para pelajar membaca tahlil dan doa arwah serta sebagai usaha ke arah mencapai matlamat persekolahan ugama bagi memastikan murid-murid pandai membaca tahlil dan doa arwah dengan baik.

240614 KEAGAMAAN DKS02
MURID-MURID sedang membaca Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Guru Praktik Mengajar KUPUSB, Awang Mohd. Sawarli bin Abdullah. (Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Program diteruskan dengan membaca Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Guru Praktik Mengajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Mohd. Sawarli bin Abdullah dan diikuti kemudian membaca tahlil dan doa arwah oleh Guru Kanan Amali Ugama Sekolah berkenaan, Awang Johrizan bin Johari serta diakhiri dengan bacaaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Guru Kanan Al-Qur'an sekolah itu, Awangku Mohd. Herman bin Pengiran Mohammad.

Program melibatkan 280 pelajar di sekolah itu termasuk 166 murid sesi awal merangkumi 83 lelaki dan 83 perempuan dan sesi akhir seramai 114 murid terdiri daripada 64 lelaki dan 50 perempuan, manakala jumlah guru 45 orang termasuk 25 guru lelaki dan 20 guru termasuk guru besar membuat pemantauan program bagi memastikan program berjalan lancar dan teratur.

240614 KEAGAMAAN DKS03
PROGRAM Keagamaan Senegara yang diadakan di Sekolah Ugama Panaga, Seria.
(Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Pelaksanaan program disaksikan oleh rombongan pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam (JPI) Cawangan Daerah Belait yang diketuai oleh Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan termasuk dua orang pegawai kenaziran Daerah Belait.

Program bulanan tersebut dianjurkan oleh JPI Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan matlamat bagi menanam dan memupuk kefahaman tentang agama Islam serta menanamkan roh keagamaan dan kebiasaan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam diri setiap kanak-kanak dan juga masyarakat umum.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 25 Jun 2014.
 

Program Keugamaan di Sekolah Ugama Sinaut

Oleh: Aryentty Haji Ariffin

TUTONG, Selasa, 24 Jun. - Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini, mengadakan Program Keugamaan Senegara bagi bulan Jun di kesemua sekolah agama di keempat-empat daerah.
Bagi Daerah Tutong, program keagamaan tersebut diadakan di Sekolah Ugama Sinaut, Tutong, bertempat di bilik sembahyang sekolah berkenaan bermula pukul 2.00 petang.
Program disertai oleh 144 orang murid daripada Pra 1, Tahun 4, 5 dan 6 sekolah berkenaan.

240614 YEN1 KEAGAMAANMURID-MURID  dari Pra 1, Tahun 4, 5 dan 6 ketika mengikuti Program Keugamaan Senegara bagi bulan Jun di Sekolah Ugama Sinaut, Tutong . Juga menyertai program ini ialah Pegawai Pelajaran/Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Sinaut, Awang Abdul Wafie bin Haji Abdul Hamid serta tenaga pengajar sekolah. (Foto : Aryentty Haji Ariffin)

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menanam dan memupuk kefahaman pelajar tentang agama Islam serta menanamkan roh keagamaan dan kebiasaan mengamalkan ajaran-ajaran Islam, menyemai minat murid/pelajar dan mempraktikkan pembacaan tahlil dan doa arwah serta melatih murid/pelajar berani tampil menyertai aktiviti membaca tahlil dan doa arwah.

Pengisian dalam atur cara program yang berlangsung hari ini ialah Tazkirah mengenai kelebihan dan objektif membaca tahlil dan doa arwah disampaikan oleh Awang Khairul Hazman bin Haji Baha; bacaan Surah Al Faatihah yang diketuai oleh Awang Mohd. Zulhakim bin Omarali dari 5 BA;  bacaan Selawat-selawat Nabi beramai-ramai serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Md. Siddiq Alminsyawi bin Ma’mun Halimi Zain dari 4 Alif.

240614 YEN4 KEAGAMAANTUJUAN program ini diadakan adalah untuk menanam dan memupuk kefahaman pelajar tentang agama Islam.
(Foto :  Aryentty Haji Ariffin)

Turut hadir menyertai program tersebut ialah Pegawai Pelajaran/Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Sinaut, Awang Abdul Wafie bin Haji Abdul Hamid serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 25 Jun 2014.
 

Selasa, 3 Jun 2014

Pembinaan masjid dan sekolah ugama : Perlu menepati ciri-ciri

Oleh: Ramlah



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan bertitah sempena Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi. (Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegur pembinaan masjid dan sekolah-sekolah ugama di negara ini.

Titah baginda, membina masjid perlulah menepati ciri-cirinya bukan setakat membina semata-mata.

"Janganlah kita setakat meletakkan bangunan dengan reka bentuknya yang berlebih kurang sahaja, sehingga apabila siap kelak ia akan kelihatan seperti sebuah kontena besar layaknya," titah baginda.

Baginda bertitah, carilah idea dan contoh yang baik bukan dengan tujuan meniru-niru reka bentuk orang lain tetapi apa salahnya kalau setakat untuk mendapatkan idea-idea baru dan besar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.
Baginda seterusnya bertitah menyarankan agar perbincangan terlebih dahulu dilakukan sebelum didirikan. Teliti luar dan dalamnya baik dari reka bentuknya, menaranya, tempat letak keretanya, sampailah kepada sistem suaranya pun juga perlu diambil perhatian. Kerana berapa banyak kedapatan sistem suara kurang memuaskan.

Selain pembinaan masjid, baginda juga menyarankan agar pembinaan bangunan sekolah ugama juga diambil perhatian, kerana kedua-duanya itu adalah sama menjadi kebanggaan negara, jika sekolah itu sekolah ugama atau arab, titah baginda, maka tidak syak lagi ia adalah tergulung sebagai syi'ar.

"Selaku syi'ar bangunan-bangunan sekolah ugama dan arab perlulah menyerlah. Jangan ia kurang dari sekolah-sekolah lain. Pembangunannya hendaklah lancar tidak wajar dilambat-lambatkan kerana keperluanya diketahui sentiasa mendesak," titah baginda.

Sepatutnya titah baginda, di era mutakhir ini pembangunan sekolah-sekolah ugama dan arab berjalan dengan lancar tetapi kenyataanya didapati tidak begitu.

"Kalau kemudahan fizikal berupa bangunan ini tidak segera dipenuhi bagaimanakah kita akan dapat menambah bilangan pelajar atau penutut ugama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah, disebabkan oleh kekurangan tempat maka pengambilan ke sekolah arab setiap tahun akan jadi kekurangan. Sampai bilakah perkara ini akan berlaku dan apakah akan jadi kepada Ugama Islam pada masa hadapan jika kaum terpelajar ugama di negara ini bilangannya sedikit berbanding dengan mereka di bidang-bidang yang lain.

"Beta tidak mahu pendidikan ugama di negara ini tercicir atau ketinggalan hanya oleh kerana kita lambat merancang dan membangun dan oleh kerana lambat itu sampai kita terpaksa mencari dan menggunakan bangunan orang lain di mana perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku," titah baginda.

Baginda seterusnya menegaskan supaya sentiasa konsisten menjulang pendidikan ugama , kerana baginda sendiri telah memperkenankan Perintah Institut Pendidikan Teknikal Brunei 2013 dan Kertas Putih Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional serta Pelan Menaik Taraf Pendidikan Teknikal Brunei Darussalam 2013 - 2018.

Melalui transformasi ini, para pelajar akan memperolehi kemahiran, pengetahuan dan lain-lain nilai bagi pembelajaran sepanjang hayat serta latihan kondusif, titah baginda.

Menyentuh mengenai tema sambutan Isra' Mi'raj tahun ini iaitu 'Sembahyang Teras Kekuatan Ummah', baginda yakintema ini sangat bertepatan di mana mereka yang menerima anugerah adalah terdiri daripada individu-individu yang terkait langsung dengan masjid atau surau atau
balai ibadat.

"Beta berharap, majlis pada pagi ini mampu untuk mengesankan khidmat yang lebih cemerlang di kalangan mereka yang berkenaan itu. Khutbah-khutbah perlu disampaikan dengan cara yang lebih baik, menepati isi dan tujuannya. Jika isi itu misalnya mengajak kepada bertakwa, maka barangkali lebih sesuai kalau disampaikan dengan suara yang sederhana sahaja," titah baginda.

Semua ini titah baginda, boleh dicapai jika latihan-latihan selalu diberikan oleh pihak yang berkenaan. Begitu juga penyampaian ayat-ayat Al-Qur'an atau hadits hendaklah dipastikan oleh pihak yang bertanggungjawab supaya ianya betul-betul tepat, sahih dan fasih.

Baginda percaya jika latihan dan pentasmi'kan dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta penuh teliti, semua kelemahan akan dapat diatasi dengan mudah.

Terdahulu sebelum itu, baginda bertitah, walaupun peristiwa yang sangat bersejarah itu telah berulang kali diperingati, namun ia tidak pernah membosankan, selaku seorang mukmin kita tetap menyukainya, kerana memperingati Isra' dan Mi'raj itu boleh membawa kepada banyak kemanfa'atan berupa pengajaran dan ktibar.

Baginda bertitah melahirkan rasa syukur bahawa di negara ini alhamdulillah berbagai aktiviti atau majlis diadakan untuk merayakan hari-hari kebesaran Islam, yang dilakukan oleh masyarakat Islam sama ada dari sektor kerajaan mahupun sektor swasta. Usaha-usaha seperti itu sangatlah baik untuk memberi imej kepada negara serta sekali gus menyemarakkan syi'ar Islam.

"Peristiwa Isra' dan Mi'raj merupakan mukjizat agung Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam, ia adalah tanda kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang tidak mampu dijangkau oleh akal manusia, yang penting di sini ialah keimanan kita orang-orang Islam untuk mempercayainya. Natijah dari kepercayaan itu insya-Allah akan membuahkan untuk kita keselamatan di dunia dan di akhirat," titah baginda.

Sesuatu yang menarik dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj titah baginda, ialah penglibatan masjid, dua buah masjid adalah berkaitan iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa.

Perkara ini menunjukkan betapa istimewanya kedudukan masjid, ia bukan saja untuk tempat berhimpun kerana beribadat tetapi juga lain-lain kegiatan berkebajikan serta menjadi syi'ar terpenting bagi ugama, titah baginda.

- Pelita Brunei Online. Khamis, 29 Mei 2014.
 

Khamis, 16 Januari 2014

Doa kesyukuran 100 tahun pendidikan formal bakal diadakan

(Siaran Akhbar Kementerian Pendidikan) - Selasa, 7 Januari 2014.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Januari. - Negara Brunei Darussalam pada tahun ini melakar satu pencapaian yang bersejarah dalam bidang pendidikan iaitu genap 100 tahun pendidikan formal di negara ini yang telah diperkenalkan sejak tahun 1914.

Sehubungan itu, berbagai aktiviti telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2014 oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi meraikan Sambutan 100 Tahun Pendidikan Formal di Negara Brunei Darussalam.

Sebagai tanda permulaan sambutan tersebut, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama KHEU akan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan 100 Tahun Pendidikan Formal di Negara Brunei Darussalam pada hari Khamis, 9 Januari 2014 bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Dijangka hadir di majlis berkenaan itu nanti ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Majlis pada hari tersebut akan dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran.

Kehadiran bagi ahli-ahli jawatankuasa, guru-guru dan penuntut-penuntut iaitu pada jam 2.30 petang; jam 3.15 petang, jemputan-jemputan khas hadir; pada jam 3.40 petang, kehadiran Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Ugama dan jam 3.51 petang, Sembahyang Fardu Asar seterusnya bacaan Ratib Al-Attas, bacaan doa kesyukuran, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan kemudian Majlis Bersurai.

Guru-guru dan para pendidik yang telah bersara serta orang ramai dialu-alukan untuk hadir sama-sama bagi menyemarakkan lagi majlis pada hari berkenaan.

Majlis Doa Kesyukuran sempena sambutan tersebut juga akan diadakan pada hari Sabtu, 11 Januari 2014 bagi sekolah-sekolah atau institusi-institusi pendidikan kerajaan dan bukan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU di keempat-empat daerah.

Majlis berkenaan akan diadakan di sekolah atau institusi masing-masing bagi sesi pagi dan petang yang melibatkan penuntut-penuntut dan guru-guru semua peringkat persekolahan iaitu daripada peringkat rendah, menengah, tingkatan enam, pendidikan teknikal dan vokasional, pengajian tinggi dan juga daripada sekolah-sekolah ugama.
 

Selasa, 26 November 2013

Bengkel Meningkatkan Kefahaman Nazir Sekolah

Oleh:  Ihsan Bahagian Perhubungan Awam, Kementerian Hal Ehwal Ugama

 PARA peserta Bengkel Meningkatkan Kefahaman Nazir-Nazir Sekolah mengadakan perbincangan sesama mereka. (Foto: Ihsan KHEU)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 November. -  Jabatan Pengajian Islam (JPI) melalui Bahagian Kenaziran telah mengadakan Bengkel Meningkatkan Kefahaman Nazir-Nazir Sekolah, bertempat di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Serusop, Berakas.

Bengkel selama dua hari yang dihadiri oleh 40 orang nazir dari seluruh negara itu bermula kelmarin dan berakhir hari ini dan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Kenaziran, JPI, Awang Hasbi bin Mohd. Suhaily.

Sepanjang bengkel para peserta mengadakan sesi kongsisama bersama pengendali bengkel yang dianggap sebagai satu proses susulan untuk meningkatkan lagi kreadibiliti bahan-bahan yang diguna pakai oleh nazir-nazir sekolah dalam menilai pencerapan ke atas guru-guru di seluruh daerah.

(Pelita Brunei Online: Jumaat, 22 November 2013)
 

Berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun Sekolah Al-Falaah

Oleh:  Abdullah Asgar



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2013M/1435H dan Penyampaian Sijil bagi Murid-Murid Tadika 3 dan Tahun 6 Sekolah Al-Falaah. (Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas)

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2013 Masihi/1435 Hijriah dan Penyampaian Sijil Bagi Murid-Murid Tadika 3 dan Tahun 6 Sekolah Al-Falaah (AFS).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Auditorium AFS, Kampung Sungai Akar dijunjung oleh Ustaz Sayed Mu’aaz bin Sayed Hamid Al-Tahir dan Timbalan Pengetua AFS, Dayang Hajah Sharifah Mastura Al Sagoff binti Saiyed Zain.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti bacaan Surah Yaa Siin ayat 30 hingga 54 oleh murid-murid gabungan Kindergarten 3 AFS dan Ban 5 dipimpin oleh anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.


KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah murid-murid perempuan dari kelas K3 dan murid dari kelas Tahun 6 antara termasuk Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang terbaik ketiga dari Kindergarten 3 perempuan pagi. (Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas)

Dalam sembah alu-aluan Timbalan Pengetua AFS antara lain menyembahkan, pendaftaran tahun depan amat menggalakkan dan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa murid kerana kepercayaan mereka terhadap didikan dan pengajaran dunia akhirat yang diajarkan di sekolah tersebut.
Selain menyaksikan penyampaian sijil-sijil kepada Kindergarten 3 dan Tahun 6 serta hadiah kepada pelajar cemerlang, majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada mereka yang mengharumkan nama sekolah.

Jelasnya, tahun ini dua orang murid telah mendapat tempat pertama Kategori 'A' dan 'B' seorang murid tempat kedua Kategori 'A' dalam Pertandingan Menghafaz Ayat-Ayat Al-Qur'an Peringkat Nasional sempena Sambutan Nuzul Al-Qur'an yang dikendalikan oleh MABIMS dan seorang murid menjadi johan Pertandingan Pidato Antara Sekolah-Sekolah Swasta Senegara.


MAJLIS diserikan dengan nyanyian nasyid oleh murid-murid kelas K2 yang juga disertai oleh anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Wakeel dan anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)

Pada majlis terebut, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah kepada murid-murid lelaki seramai 41 orang daripada kelas K3 dan murid Tahun 6 dan murid-murid cemerlang Tahun 1 hingga 6 serta para pemenang Pertandingan Menghafaz Ayat-Ayat Suci Al-Qur'an Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Nuzul Al-Qur'an 2013.

Sementara itu, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri pula berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah kepada 41 murid-murid perempuan dari kelas K3 dan murid daripada kelas Tahun 6 antara termasuk Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang terbaik ketiga dari Kindergarten 3 perempuan pagi.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Ahli Jawatankuasa Majlis tersebut.


TIMBALAN Pengetua AFS, Dayang Hajah Sharifah Mastura Al Sagoff binti Saiyed Zain ketika menyembahkan sembah alu-aluan. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)

Terdahulu, majlis diserikan dengan beberapa persembahan pentas antaranya sketsa, mari bercerita dan nyanyian nasyid oleh murid-murid kelas K2 yang juga disertai oleh anakanda Kebawah DYMM iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

AFS yang pada mulanya terletak di Jalan Jawatan Dalam, Bandar Seri Begawan telah beroperasi pada 3 April 1995 dengan keramaian 13 murid belajar di kelas Tadika dan membuka cawangan baru di Jalan Ong Sum Ping yang mula beroperasi pada 24 Februari 1998.

Pada awal tahun penubuhannya, AFS mempunyai 126 murid dan jumlah keramaian tersebut meningkat kepada 1,200 orang pada tahun 2001.

Untuk menampung keramaian murid, AFS telah membuka cawangan barunya di Ban 5, Kampung Paya, Mulaut pada Januari 1999.

Sementara, kompleks baru AFS Cawangan Sungai Akar yang terletak di atas kawasan seluas kira-kira 3.7 ekar telah dirasmikan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 20 Oktober 2011.

(Pelita Brunei Online: Ahad, 24 November 2013)
 

Pendaftaran calon Sekolah Arab dibukakan

Oleh:  Siaran Akhbar KHEU 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 November. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) menyarankan kepada para pelajar yang lulus dalam Peperiksaan Calon Ke Sekolah Arab Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi supaya akan dapat mengisikan borang penerimaan ke Sekolah Arab bagi sesi pengajian tahun 1435H/2014M.

Borang-borang pendaftaran boleh diperolehi mulai Isnin lepas, 18 November dan borang-borang yang telah lengkap diisikan hendaklah dikembalikan tidak lewat pada hari Khamis, 28 November 2013, pukul 3.00 petang, ke sekolah-sekolah Arab yang ditetapkan iaitu Ma’had Islam Brunei, Tutong, Sekolah Arab Sungai Akar, Bangunan PGGMB, Sekolah Persediaan Arab, Bandar Seri Begawan, Sekolah Arab Belait dan Sekolah Arab Temburong.

Sebarang keterangan lanjut, ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan bolehlah menghubungi Bahagian Sekolah Arab, JPI di talian 2380100/2380101/2380107/2380108 atau sekolah agama masing-masing.