Ahad, 29 Mei 2016

Majukan Pembelajaran Sekolah Ugama, Arab


Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said 


MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis.

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mei. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI) akan terus berusaha meningkatkan dan memajukan pembelajaran ugama serta persekolahan ugama dan Arab di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, tanggungjawab terhadap pelajaran ugama dan persekolahannya serta persekolahan Arab adalah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan.

Demikian jelas Yang Berhormat pada Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang 1436 Hijrah / 2015 Masihi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Yang Berhormat menambah tanggungjawab itu selaras dan seiring dengan tanggungjawab-tanggungjawab dalam bidang-bidang lain yang diurus dan dikendalikan oleh kerajaan.

"Itulah yang cantiknya sistem berkerajaan dan berpemerintahan beraja kita di Brunei. Sepanjang sejarah yang diketahui, ehwal ugama adalah ehwal negara dan kerajaan. Lalu sampai ke zaman ini pun demikian. Sehingga kesan pengaruh ugama itu sangat penting dalam sistem sosial-politik Brunei," ujar Yang Berhormat.

Menteri Hal Ehwal Ugama turut mengingatkan semula mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang letaknya ugama bagi Negara Brunei Darussalam iaitu di depan, jadi panduan.

Yang Berhormat menambah, kerana itu kita yang berkhidmat dalam urusan ugama, baik di Kementerian Hal Ehwal Ugama mahupun lain-lain kementerian dan agensi kerajaan, adalah bertanggungjawab untuk memastikan nilai ugama yang diletak di hadapan, jadi panduan itu benar-benar menepati maknanya iaitu dengan memberikan khidmat yang cemerlang dalam tugas dan tanggungjawab yang disandang, dengan semangat dan kesedaran yang tinggi sambil menyedari kepentingan bekerjasama akan memberikan khidmat yang cemerlang.

"Bekerjasama dalam berkhidmat itu tidak sahaja di kalangan sesama kita orang ugama bahkan dengan rakan-rakan di luar rangkaian perkhidmatan ugama. Itulah yang dilakukan dan berjalan dengan baik sejak dari awal lagi di mana Brunei menyaksikan dan mengalu-alukan anak watannya yang kembali dari belajar di luar negeri, dari United Kingdom dan dari Mesir pada awal tahun 60an telah diadun-serasikan untuk berganding bahu memberikan khidmat kepada tanah air di bawah kepimpinan bijaksana Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang kesinambungan dasar itu telah berkembang dengan baiknya pada era pemerintahan sekarang di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah," jelas Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dan hasilnya, ujar Yang Berhormat ialah Brunei menyaksikan dan mengalami kemantapan sosial politik berkat kerjasama dan persefahaman yang menyeluruh itu.

Menurut Yang Berhormat lagi, tugas dan tanggungjawab KHEU seterusnya ialah memastikan pelajaran dan persekolahan ugama dan Arab tetap signifikan dan relevan.

"Ke arah itulah sekarang hala tuju kita di kementerian meletakkan prioriti tugas yang akan disempurnakan dalam jangka waktu yang singkat, iaitu dalam bidang pelajaran ugama, persekolahan ugama dan Arab kita akan bekerja untuk mengemaskannya," terang Yang Berhormat.

Mengemaskannya, ujar Yang Berhormat bermaksud dari segi sukatan dan kurikulum khasnya bagi memastikan mutu pendidikan ugama yang diajarkan kepada anak-anak generasi Brunei benar-benar berhasil menjadikan mereka generasi muslim yang pandai membaca Al-Quran pada tahap yang sempurna, pandai dan mengamalkan ibadat terutama sekali sembahyang juga pada tahap yang sempurna.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M

290 pelajar cemerlang diberi penghargaan

Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Khamis, 26 Mei. - Seramai 290 orang pelajar cemerlang di bidang akademik dalam peperiksaan-peperiksaan awam bagi persekolahan Ugama dan Arab diraikan pada Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis penghargaan merupakan acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan pada tahun ini ianya diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan hadiah-hadiah penghargaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama  menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang penuntut dari Sekolah Pengajian Islam. 
YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang penuntut dari Sekolah Pengajian Islam.
 
Pada majlis tersebut, sebanyak lima kategori penghargaan diberikan iaitu, 128 pelajar terbaik dalam Penilaian Sekolah Rendah, 41 pelajar terbaik dalam Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah VI, 62 pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Ugama Brunei, 54 pelajar terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei dan lima pelajar terbaik dalam Brunei Cambridge – General Certificate of Education Advance Level (BCGCE 'A' Level).

Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang ini merupakan penghargaan yang berprestij bagi memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih pelajar-pelajar, sebagai insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

Selain itu untuk memberi penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar atas sokongan dan dorongan mereka dalam sama-sama memastikan kejayaan anak-anak mereka dan membarigakan kepada masyarakat mengenai kecemerlangan akademik yang dicapai oleh pelajar-pelajar persekolahan Ugama dan Arab dalam bidang-bidang Ugama / Arab dan Sains.

Salah seorang penerima pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini semasa ditemui mengongsikan cara pembelajarannya, di mana beliau akan mengulangkaji pelajaran selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh, dan mengambil rehat seketika sebelum meneruskan lagi ulangkaji beliau pada waktu pagi dan juga petang.

260516 RIZAL2 SIJILPENERIMA pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini.

Di samping itu, Dayang Nur Maizatul yang bersekolah di Sekolah Ugama Batalion Kedua, Tutong Kem menjelaskan bahawa beliau juga akan cuba menulis ringkasan daripada apa yang diulangkajinya selain mengikuti kelas-kelas tambahan yang diajar sendiri oleh guru subjek mereka.

Anak ketiga daripada empat beradik ini turut melahirkan harapannya yang ingin meraih lagi kejayaan yang cemerlang di peringkat seterusnya dan cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang doktor.
Sementara itu, Dayang 'Aliyah binti Haji Mat Dani, pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) merupakan pelajar terbaik dalam BCGCE 'A' Level dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama.

260516 RIZAL1 SIJILPELAJAR terbaik dalam BCGCE 'A' Level dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama (STPUB), Dayang 'Aliyah binti Haji Mat Dani dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

Menurutnya, cara beliau mengulangkaji pelajaran ialah dengan membahagikan buku-buku yang perlu diulangkaji dan tidak mencampuradukkan buku-buku tersebut agar tidak ada kekeliruan.

Memandangkan beliau mengikuti pengajian dalam dua aliran iaitu Arab dan peringkat 'A' Level, masa mengulang kaji pelajaran jelasnya, perlu dibahagikan, di mana beliau juga ada mengulang kaji bersama rakan-rakan kelas beliau iaitu melalui 'Study Group' kerana baginya ianya banyak membantu lagi dalam pelajaran mereka.

Perancangan masa depan Dayang 'Aliyah adalah untuk melanjutkan lagi pengajiannya di peringkat yang lebih tinggi di mana beliau sudah memohon bagi menyambung pengajian di beberapa buah universiti dalam dan juga luar negara.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M.

Rabu, 25 Mei 2016

Talaqqi sistem pengajaran secara bersemuka

Oleh:  Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 25 Januari. - Pengajaran dengan sistem talaqqi merupakan sistem tradisi yang diperkenalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri. Ini jelas bila mana Baginda mendapat wahyu dan mempelajari Al-Quran adalah melalui malaikat Jibril Alaihissalam.

Saban tahun juga hingga ke tahun kewafatan Baginda, Baginda mengulang, menghalusi dan mengemaskan bacaan di hadapan baginda Jibril Alaihissalam (maksud hadis riwayat Bukhari).

Baginda tidak mengulangnya sendiri meskipun Baginda sudah mengetahui cara bacaannya. Inilah yang digelar dalam istilah pengajaran dan pembelajaran sebagai bertalaqqi.

Sistem ini adalah metodologi-metodologi pengajian Islam tulen yang melahirkan para ulama Islam berkepakaran, berwibawa dan mempunyai sahsiah tinggi lagi terpuji.

Talaqqi ialah sistem pengajaran yang menuntut pertemuan guru dengan murid secara bersemuka. Sesi pengajaran dan pembelajaran adalah secara berdepan dan guru membaca kitab yang diajarkan dari kulit ke kulit. Di samping itu, para pelajar juga membaca di depan sang guru mengikut giliran yang bersesuaian.

260116 PR Talaqqi 2SEBAHAGIAN penuntut sedang menjalani sistem pengajaran pertemuan guru dengan murid secara bersemuka.

Seterusnya sesi talaqqi ini diisi dengan penerangan mendalam mengenai tajuk yang dipelajari dan para pelajar dipandu oleh guru tentang bagaimana memahami perbincangan kitab tersebut.

Guru yang mengajar pula adalah seorang yang mempunyai sanad yang bersambung zaman berzaman dan jika ia dalam kitab matan hadis ia akan bersambung sehingga pada sumber awal, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Ia merupakan tradisi pengajian Islam yang bertujuan untuk memastikan apa yang diterima oleh murid adalah betul, tepat dan benar-benar sejajar dengan apa yang disampaikan oleh Allah Subahanahu Wata'ala kepada murabbi awal, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sistem ini nampak agak ketat dan sangat teliti, namun sudah semestinya ia demikian kerana ilmu yang dicurah terima adalah berkait hal agama dan agama pula pemiliknya ialah Yang Maha Agung Pemilik alam maya ini. Justeru, tidak hairanlah pengajian talaqqi ini sangat tinggi tahap autoritinya.

Memandangkan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) merupakan institusi pengajian tinggi Islam tulen di negara ini yang diamanahkan untuk menggembleng upayanya demi melahirkan graduan yang soleh dan berwibawa, keperluan memperkenalkan keunikan metodologi pengajaran tradisi ini perlu menjadi agenda utama.

Yang demikian itu, UNISSA melalui Felo Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengadakan Program talaqqi kitab-kitab turath. Bahan bacaan yang akan diikuti dalam pengajian talaqqi ini juga merupakan kitab para ulama dan tokoh Islam terkemuka, antaranya kitab Ihya 'Ulumuddin, Matan Jawhar al-Tauhid, al-Rahiq al-Makhtum dan yang lainnya. Kitab-kitab ini banyak mencorak keperibadian tokoh-tokoh dan sarjana dunia sejak sekian lama.

Program berkenaan dimulai oleh pengajian talaqqi kitab Ilya 'Ulumuddin di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Usuluddin, Dr. Sayyed Abdul Hamid al-Mahdaly.

Program ini seterusnya dihasratkan untuk mendedahkan dan mendidik para pelajar UNISSA khususnya serta masyarakat amnya akan kaedah dalam berinteraksi dengan kitab-kitab turath.

Kitab turath ialah khazanah ilmu yang merupakan sumber primer dalam pengajian Islam di mana pengarangnya menghimpun segenap catatan ilmu dari kuliah dan halaqah talaqqi beliau bersama tuan gurunya.

Hal ini termasuklah catatan hadis dalam karya-karya para ulama hadis seperti Sahih Bukhari yang di dalamnya dihimpun hadis-hadis sahih yang diambil secara talaqqi daripada para guru Imam Bukhari sendiri justeru melalui tahap penilaian dan disusun mengikut kesesuaiannya.

Pengajian talaqqi kitab turath ini seterusnya diharapkan dapat memperkasa ilmu-ilmu asas yang menjadi tunjang dalam pengajian Islam lantas dapat membendung segala ancaman fahaman-fahaman baharu yang tidak sealiran dengan amalan beragama di Negara Brunei Darussalam.

Kepada yang berminat untuk mengikuti program ini dialu-alukan untuk menghubungi Felo Kolej Kediaman Siswa, UNISSA, Dr. Ahmad Baha Mokhtar, melalui talian +673 8643803 atau Felo Kolej Kediaman Siswi, UNISSA, Dayang Hajah Nurol Halimatulwara' binti Haji Mumin, melalui talian +673 8866875.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 27 Januari 2016M.

Persiapan penting hadapi peperiksaan

Oleh:  Berita dan Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim.

TEMBURONG, Khamis, 19 Mei. - Antara persediaan asas dalam persiapan menghadapi peperiksaan ialah semangat tinggi, pembacaan banyak, kefahaman jelas, ulang kaji berterusan dan keyakinan diri.

Perkara itu antara yang terkandung dalam tazkirah yang berlangsung dalam Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi dengan tumpuan media di Sekolah Ugama Negalang, Mukim Batu Apoi, di sini.

Tazkirah yang dibacakan oleh tenaga pengajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Idaham bin Haji Talib juga menjelaskan bahawa persediaan pada peringkat awal secara berterusan dengan mengamalkan cara kaedah pembelajaran yang betul adalah perlu dalam menghadapi peperiksaan secara berkesan.

Namun jelasnya, masih ramai juga pelajar yang tidak menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan banyak masa pada saat awal hinggalah ke akhirnya, malahan ramai menjadi hilang tumpuan pada saat-saat akhir.
190516 HEZ1 TEMB
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Ugama Negalang yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi.

Beliau seterusnya mengongsikan beberapa persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi peperiksaan antaranya mengorbankan perkara-perkara yang tidak penting seperti menonton televisyen, mengurangkan penggunaan internet, membaca novel dan sebagainya.

Persiapan juga termasuklah memulakan sesi pembelajaran atau mengulang kaji dengan niat untuk berjaya dan perlulah ke arah kebaikan dan disertai dengan keikhlasan, di samping sentiasa berfikiran positif.

Program dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Awang Mohammad Idaham yang juga membacakan Doa Peperiksaan dan diselajurkan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

Pada program anjuran Jabatan Pengajian Islam itu, Doa Khas Hari Keluarga dibacakan oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Negalang, Awang Mohammad Afandi bin Abdullah, sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh salah seorang pelajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Wabil bin Zunaidi.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.

Lebih 70 murid sekolah ugama sertai program keagamaan

Oleh:  Berita dan Foto : Noraisah Muhammed

SUNGAI LIANG, Khamis, 19 Mei. - Jabatan Pengajian Islam (JPI) terus mengambil perhatian yang serius bagi menghadapi peperiksaan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah ugama seluruh negara.

Antara usahanya termasuklah mengadakan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, bacaan surah Yaa Siin dan Doa Peperiksaan serta Doa Khas Hari Keluarga.

Usaha yang bertemakan 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' menumpukan mengenai langkah-langkah yang wajar diambil perhatian oleh setiap pelajar sebelum menghadapi peperiksaan diikuti dengan aktiviti serta amalan dalam menghadapi peperiksaan.

Sehubungan itu, lebih 70 murid-murid sekolah ugama menyertai Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi Bulan Mei Daerah Belait yang diadakan di Sekolah Ugama Sungai Liang.

Program tersebut telah dibahagikan pada dua fasa, fasa pertama murid-murid Pra 1, darjah IV, V dan VI seramai 76 murid lelaki dan 60 murid perempuan bermula pukul 2.00 petang hingga 2.30 petang, manakala pada fasa kedua bermula pukul 3.30 petang hingga 4.00 petang melibatkan seramai 26 murid lelaki dan 21 murid perempuan dari darjah II dan III sekolah tersebut.

19052016 NORAISAH POGRAM KEUGAMAAN 1 
TAZKIRAH Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei di Sekolah Ugama Sungai Liang disampaikan oleh Awang Nazirul Adib bin Haji Anwar.

Ia dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Zuhur Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat, kemudian diteruskan dengan bacaan surah Yaa Siin, Doa Peperiksaan dan Tazkirah mengenai dengan persiapan peperiksaan setengah tahun sekolah ugama seluruh negara dan diakhiri dengan bacaan Doa Hari Keluarga dan Doa Peliharakan Sultan.

Tazkirah telah disampaikan oleh Awang Nazirul Adib bin Haji Anwar, antara lain memberikan tips dan langkah-langkah yang sewajarnya diambil perhatian oleh setiap pelajar antaranya pelajar hendaklah mempunyai pengorbanan yang besar terhadap pelajaran dengan mengetepikan pada perkara-perkara yang tidak penting dan membuang masa, selain perlu mengulangkaji pelajaran dengan niat untuk berjaya dan perlulah disertai dengan keikhlasan.

Beliau juga menekankan bahawa para pelajar perlu sentiasa menyemak jadual peperiksaan kerana ia sangat penting, serta sentiasa berfikiran positif dan menghindari dari rasa tertekan, para pelajar juga perlu bersedia dengan keperluan peperiksaan, memohon restu dan maaf daripada kedua ibu bapa serta guru mengajar.

19052016 NORAISAH POGRAM KEUGAMAAN 3 
PELAJAR Pra 1, darjah IV, V dan VI yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi Fasa Pertama, diadakan di Sekolah Ugama Sungai Liang.

"Para pelajar juga tidak boleh terlalu banyak ketawa dan bergurau senda yang melampau, yang mana boleh menyebabkan pertukaran cecair kimia badan menyebabkan fikiran akan terganggu dan hendaklah menjaga permakanan supaya tidak sampai berulang alik ke tandas yang mengakibatkan konsentrasi pelajar terganggu ketika menghadapi peperiksaan serta membanyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah," ujarnya.

Program itu adalah bagi merealisasikan Rancangan Strategik JPI untuk meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan Ugama, sekali gus meningkatkan keberkesanan program kokurikulum, di samping melahirkan akidah kukuh dan akhlak mulia melaluinya dengan penglibatan semua pelajar mengikuti program penghayatan agama.

Turut hadir Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan, serta Pembantu Pegawai Pengajian Islam, Pengiran Adiyura bin Pengiran Haji Mohammed. Juga hadir sama pegawai dari Unit Kenaziran, Dayang Hajah Hindun binti Haji Puting.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.

Selasa, 24 Mei 2016

Program Keagamaan Senegara realisasi Rancangan Strategik JPI

Oleh:  Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

TUTONG, Khamis, 19 Mei. - Persediaan asas perlu ada pada setiap murid seperti semangat tinggi, banyak membaca, kefahaman jelas, ulang kaji berterusan dan keyakinan diri sebelum menghadapi peperiksaan.

Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam (JPI) sentiasa berusaha mencorakkan masa depan murid dengan memberikan penerangan kepada pelajar-pelajar agar lebih bersemangat tinggi dan mengetahui hala tuju untuk mencapai kejayaan.

Justeru itu, JPI mengadakan Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab yang mana pada bulan Mei tema program adalah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan'.

Bagi Daerah Tutong tumpuan program tersebut pada sebelah petang diadakan bertempat di Sekolah Ugama Kiudang, di sini.

190516 HERNIE1 TUT
PROGRAM Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi bulan Mei 2016 bertemakan 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' diadakan di Sekolah Ugama Kiudang bagi sesi petang sekolah ugama di Daerah Tutong.

Lebih 50 pelajar sekolah berkenaan dari Darjah Pra hingga Darjah VI mengikuti program keagamaan tersebut yang menumpukan mengenai langkah-langkah yang wajar diambil perhatian oleh setiap pelajar sebelum menghadapi peperiksaan.

Terdahulu, program diisikan dengan Tazkirah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' yang disampaikan oleg Guru Mata Pelajaran Sekolah Ugama Kiudang, Awang Mohd. Khairul Hazman bin Haji Baha yang antara lain menjelaskan mengenai 'tips' dan langkah-langkah yang digariskan dan sewajarnya diambil perhatian oleh setiap pelajar.

Jelasnya, pelajar-pelajar perlu mempunyai pengorbanan yang besar terhadap pelajaran dengan mengetepikan pada perkara-perkara yang tidak penting dan membuang masa, sentiasa mengulang kaji pelajaran dengan niat untuk berjaya dan perlulah disertai dengan keikhlasan serta sentiasa menyemak jadual peperiksaan kerana ia sangat penting.

Di samping itu jelasnya, para pelajar hendaklah sentiasa berfikiran positif dan hilangkan rasa stres, bersedia dengan keperluan peperiksaan serta memohon restu juga maaf kepada kedua ibu bapa serta guru yang mengajar.

190516 HERNIE2 TUT
SELAIN daripada tazkirah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan', usaha turut digandakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi murid-murid Sekolah Ugama Kiudang dalam Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab.

Selain itu katanya, para pelajar jangan terlalu banyak ketawa dan bergurau senda yang melampau di mana ia boleh menyebabkan pertukaran cecair kimia badan menyebabkan fikiran akan terganggu dan hendaklah menjaga pemakanan jangan sampai berulang-alik ke tandas yang mengakibatkan konsentrasi pelajar terganggu ketika menghadapi peperiksaan serta banyakan berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Sejurus selepas itu, program diikuti dengan aktiviti atau amalan dalam menghadapi peperiksaan seperti Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Peperiksaan serta Doa Khas Keluarga yang dipimpin oleh guru sekolah berkenaan, Awang Mohd. Usllyzam bin Budin.

Program seumpama ini diadakan bagi merealisasikan Rancangan Strategik JPI dalam meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan ugama.

Ini sekali gus meningkatkan keberkesanan program kokurikulum, di samping melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum dengan melibatkan semua pelajar mengikuti program penghayatan beragama.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.

Program keagamaan senegara

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Mac – Program Keagamaan Senegara anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), bagi merealisasikan rancangan strategik untuk meningkatkan peratus pelajar mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah Arab dan agama, telah diteruskan lagi hari ini dengan tema bagi bulan Mac adalah ‘Wahai Pelajar-Pelajar Solatlah, Bagaimana Mentaatinya?’.

Bagi Daerah Belait, pusat tumpuan program bulan ini diadakan di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Belait dengan melibatkan penyertaan murid-murid Darjah 1, 4, 5 dan 6 sekolah tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kokurikulum JPI, Awang Shahrin bin Haji Abdul Razak dan para pegawai dari Bahagian Kokurikulum serta Pejabat Pengajian Islam Belait.

Memulakan acara program adalah penyampaian Tazkirah oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama SOAS, Awang Hafiq bin Zainuddin, yang telah menyentuh tentang solat yang wajib ditaati, selain menekankan peranan ibu bapa untuk menyuruh anak-anak mereka dalam melaksanakan kewajiban bersolat.

Pelajar-pelajar yang menyertai program berkenaan.
Pelajar-pelajar yang menyertai program berkenaan.
Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Hafiq.
Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Hafiq.
Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Hafiq.
Katanya, ibu bapa serta penjaga menjadi contoh teladan terlebih dahulu kepada anak-anak, dan mereka juga perlu mengamalkan mengajak anak-anak untuk solat berjemaah, mendoakan anak-anak untuk mendengar kata kedua ibu bapa, mengajak anak-anak untuk berjemaah ke masjid atau surau dan melazimkan anak-anak untuk mengerjakan solat lima waktu di samping solat-solat sunat.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna dan ayat-ayat lazim beramai-ramai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Program keagamaan senegara ini juga dihasratkan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai akidah kukuh dan akhlak mulia melalui program pendidikan kokurikulum, serta melibatkan semua pelajar mengikut program penghayatan beragama.

- Media Permata Online. 17 Mac 2016.