TEMBURONG, Selasa, 24 Jun. -
Tahlil bukan saja ucapan kalimah ‘La Ilaha Illallah’ tetapi juga membaca
surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan dan lain-lain lagi dan
seterusnya mendoakan orang yang telah kembali ke rahmatullah agar
mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala dan diberi segala
kebaikan.
Bagi Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama bagi bulan Jun
1435 Hijriah/2014 Masihi telah memberikan tumpuan pada bacaan Surah Yaa
Siin, Tahlil dan Doa Arwah bagi menanam dan memupuk kefahaman pelajar
tentang agama Islam serta menanamkan roh keagamaan dan kebiasaan
mengamalkan ajaran-ajaran Islam.
Di Sekolah Ugama Negalang, Mukim Batu Apoi, program tersebut disertai
oleh para pelajar dan tenaga pengajar di sekolah agama berkenaan.
ANTARA pelajar dan tenaga pengajar Sekolah Ugama Negalang yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi bulan Jun 1435H/2014M yang memberikan tumpuan pada bacaan Surah Yaasin, Tahlil dan Doa Arwah. (Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim)
Semasa program anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal
Ugama itu bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh salah seorang
pelajar sekolah agama berkenaan, Awang Mohammad Akmal Shafiq bin
Mohammad Sairual Rizal, manakala Doa Arwah dan Doa Peliharakan Sultan
dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Awang Mohammad Zahierul
Haziq bin Hamdan, juga pelajar Sekolah Ugama Negalang.
Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Arwah semasa program ini antara
lain bertujuan untuk memupuk minat para pelajar dan mempraktikkan
pembacaan tahlil dan doa arwah serta mengetengahkan kebolehan mereka
membaca tahlil dan doa arwah.
Selain itu, ia juga merupakan usaha ke arah mencapai matlamat
persekolahan Arab bagi memastikan para pelajar pandai membaca tahlil dan
doa arwah dengan baik, di samping melatih murid/pelajar berani tampil
menyertai aktiviti membaca tahlil dan doa arwah.
- Pelita Brunei Online. Rabu, 25 Jun 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan