Khamis, 16 Januari 2014

Doa kesyukuran 100 tahun pendidikan formal bakal diadakan

(Siaran Akhbar Kementerian Pendidikan) - Selasa, 7 Januari 2014.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Januari. - Negara Brunei Darussalam pada tahun ini melakar satu pencapaian yang bersejarah dalam bidang pendidikan iaitu genap 100 tahun pendidikan formal di negara ini yang telah diperkenalkan sejak tahun 1914.

Sehubungan itu, berbagai aktiviti telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2014 oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi meraikan Sambutan 100 Tahun Pendidikan Formal di Negara Brunei Darussalam.

Sebagai tanda permulaan sambutan tersebut, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama KHEU akan mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan 100 Tahun Pendidikan Formal di Negara Brunei Darussalam pada hari Khamis, 9 Januari 2014 bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Dijangka hadir di majlis berkenaan itu nanti ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Majlis pada hari tersebut akan dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran.

Kehadiran bagi ahli-ahli jawatankuasa, guru-guru dan penuntut-penuntut iaitu pada jam 2.30 petang; jam 3.15 petang, jemputan-jemputan khas hadir; pada jam 3.40 petang, kehadiran Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Ugama dan jam 3.51 petang, Sembahyang Fardu Asar seterusnya bacaan Ratib Al-Attas, bacaan doa kesyukuran, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan kemudian Majlis Bersurai.

Guru-guru dan para pendidik yang telah bersara serta orang ramai dialu-alukan untuk hadir sama-sama bagi menyemarakkan lagi majlis pada hari berkenaan.

Majlis Doa Kesyukuran sempena sambutan tersebut juga akan diadakan pada hari Sabtu, 11 Januari 2014 bagi sekolah-sekolah atau institusi-institusi pendidikan kerajaan dan bukan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU di keempat-empat daerah.

Majlis berkenaan akan diadakan di sekolah atau institusi masing-masing bagi sesi pagi dan petang yang melibatkan penuntut-penuntut dan guru-guru semua peringkat persekolahan iaitu daripada peringkat rendah, menengah, tingkatan enam, pendidikan teknikal dan vokasional, pengajian tinggi dan juga daripada sekolah-sekolah ugama.