Isnin, 23 Oktober 2023

Pengintegrasian mata pelajaran ugama ke sistem pendidikan umum

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-39 Bagi Tahun 1444H/2023M, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan dengan ini sukacita mengumumkan ‘Pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum’.

Pengintegrasian mata pelajaran Ugama ke dalam sistem pendidikan umum akan mula dilaksanakan pada 1 November 2023.

Melalui pengintegrasian itu, mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah ugama akan diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.

Pengintegrasian tersebut hanya akan melibatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di peringkat Pra sehingga Darjah 3 Ugama.

Dalam hal berkenaan, pelajar-pelajar itu akan mengikuti Pendidikan Ugama mereka di sekolah rendah masing-masing. Manakala, pelajar-pelajar yang menuntut dalam Darjah 4 hingga Darjah 6 Ugama masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah Ugama seperti lazimnya.

Berikutan itu, waktu persekolahan untuk sekolah-sekolah yang terlibat bagi pelajar-pelajar yang dimaksudkan akan diubah dan diselaraskan masanya bermula jam 7:30 pagi hingga 12:00 tengah hari dan 1:30 petang hingga 3:00 petang.

Mata pelajaran Ugama yang diintegrasikan ke dalam jadual pendidikan umum akan diajar selama satu jam iaitu dua waktu atau period sehari.

Pakaian seragam sekolah juga akan diselaraskan di mana pelajar-pelajar hanya memakai satu seragam sekolah sahaja iaitu pakaian seragam di sekolah rendah kerajaan dan swasta serta sekolah antarabangsa masing-masing.

Antara tujuan pengintegrasian tersebut adalah untuk menjaga kesejahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan mengurangkan masa berada di sekolah, yang akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar.

Selain itu, perubahan itu juga diharap akan meningkatkan lagi efisiensi pembelajaran, di mana waktu persekolahan yang berkurang akan memberi ruang kepada guru dan para pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran yang lebih berkualiti.

Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para guru, pemimpin-pemimpin sekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah-sekolah ugama serta kefahaman dan kerjasama dari pihak ibu bapa dan penjaga semasa pelaksanaan pengintegrasian itu.

Dengan sokongan padu daripada semua pihak yang berkepentingan, serta dengan bertawakal ke hadrat Allah S.W.T., Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan akan dapat melaksanakan pengintegrasian itu dengan lancar dan jayanya demi kesejahteraan anak-anak kita semua.

- Media Permata Online. 23 Oktober 2023.