Selasa, 3 Jun 2014

Pembinaan masjid dan sekolah ugama : Perlu menepati ciri-ciri

Oleh: Ramlah



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan bertitah sempena Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi. (Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegur pembinaan masjid dan sekolah-sekolah ugama di negara ini.

Titah baginda, membina masjid perlulah menepati ciri-cirinya bukan setakat membina semata-mata.

"Janganlah kita setakat meletakkan bangunan dengan reka bentuknya yang berlebih kurang sahaja, sehingga apabila siap kelak ia akan kelihatan seperti sebuah kontena besar layaknya," titah baginda.

Baginda bertitah, carilah idea dan contoh yang baik bukan dengan tujuan meniru-niru reka bentuk orang lain tetapi apa salahnya kalau setakat untuk mendapatkan idea-idea baru dan besar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.
Baginda seterusnya bertitah menyarankan agar perbincangan terlebih dahulu dilakukan sebelum didirikan. Teliti luar dan dalamnya baik dari reka bentuknya, menaranya, tempat letak keretanya, sampailah kepada sistem suaranya pun juga perlu diambil perhatian. Kerana berapa banyak kedapatan sistem suara kurang memuaskan.

Selain pembinaan masjid, baginda juga menyarankan agar pembinaan bangunan sekolah ugama juga diambil perhatian, kerana kedua-duanya itu adalah sama menjadi kebanggaan negara, jika sekolah itu sekolah ugama atau arab, titah baginda, maka tidak syak lagi ia adalah tergulung sebagai syi'ar.

"Selaku syi'ar bangunan-bangunan sekolah ugama dan arab perlulah menyerlah. Jangan ia kurang dari sekolah-sekolah lain. Pembangunannya hendaklah lancar tidak wajar dilambat-lambatkan kerana keperluanya diketahui sentiasa mendesak," titah baginda.

Sepatutnya titah baginda, di era mutakhir ini pembangunan sekolah-sekolah ugama dan arab berjalan dengan lancar tetapi kenyataanya didapati tidak begitu.

"Kalau kemudahan fizikal berupa bangunan ini tidak segera dipenuhi bagaimanakah kita akan dapat menambah bilangan pelajar atau penutut ugama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah, disebabkan oleh kekurangan tempat maka pengambilan ke sekolah arab setiap tahun akan jadi kekurangan. Sampai bilakah perkara ini akan berlaku dan apakah akan jadi kepada Ugama Islam pada masa hadapan jika kaum terpelajar ugama di negara ini bilangannya sedikit berbanding dengan mereka di bidang-bidang yang lain.

"Beta tidak mahu pendidikan ugama di negara ini tercicir atau ketinggalan hanya oleh kerana kita lambat merancang dan membangun dan oleh kerana lambat itu sampai kita terpaksa mencari dan menggunakan bangunan orang lain di mana perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku," titah baginda.

Baginda seterusnya menegaskan supaya sentiasa konsisten menjulang pendidikan ugama , kerana baginda sendiri telah memperkenankan Perintah Institut Pendidikan Teknikal Brunei 2013 dan Kertas Putih Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional serta Pelan Menaik Taraf Pendidikan Teknikal Brunei Darussalam 2013 - 2018.

Melalui transformasi ini, para pelajar akan memperolehi kemahiran, pengetahuan dan lain-lain nilai bagi pembelajaran sepanjang hayat serta latihan kondusif, titah baginda.

Menyentuh mengenai tema sambutan Isra' Mi'raj tahun ini iaitu 'Sembahyang Teras Kekuatan Ummah', baginda yakintema ini sangat bertepatan di mana mereka yang menerima anugerah adalah terdiri daripada individu-individu yang terkait langsung dengan masjid atau surau atau
balai ibadat.

"Beta berharap, majlis pada pagi ini mampu untuk mengesankan khidmat yang lebih cemerlang di kalangan mereka yang berkenaan itu. Khutbah-khutbah perlu disampaikan dengan cara yang lebih baik, menepati isi dan tujuannya. Jika isi itu misalnya mengajak kepada bertakwa, maka barangkali lebih sesuai kalau disampaikan dengan suara yang sederhana sahaja," titah baginda.

Semua ini titah baginda, boleh dicapai jika latihan-latihan selalu diberikan oleh pihak yang berkenaan. Begitu juga penyampaian ayat-ayat Al-Qur'an atau hadits hendaklah dipastikan oleh pihak yang bertanggungjawab supaya ianya betul-betul tepat, sahih dan fasih.

Baginda percaya jika latihan dan pentasmi'kan dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta penuh teliti, semua kelemahan akan dapat diatasi dengan mudah.

Terdahulu sebelum itu, baginda bertitah, walaupun peristiwa yang sangat bersejarah itu telah berulang kali diperingati, namun ia tidak pernah membosankan, selaku seorang mukmin kita tetap menyukainya, kerana memperingati Isra' dan Mi'raj itu boleh membawa kepada banyak kemanfa'atan berupa pengajaran dan ktibar.

Baginda bertitah melahirkan rasa syukur bahawa di negara ini alhamdulillah berbagai aktiviti atau majlis diadakan untuk merayakan hari-hari kebesaran Islam, yang dilakukan oleh masyarakat Islam sama ada dari sektor kerajaan mahupun sektor swasta. Usaha-usaha seperti itu sangatlah baik untuk memberi imej kepada negara serta sekali gus menyemarakkan syi'ar Islam.

"Peristiwa Isra' dan Mi'raj merupakan mukjizat agung Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam, ia adalah tanda kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang tidak mampu dijangkau oleh akal manusia, yang penting di sini ialah keimanan kita orang-orang Islam untuk mempercayainya. Natijah dari kepercayaan itu insya-Allah akan membuahkan untuk kita keselamatan di dunia dan di akhirat," titah baginda.

Sesuatu yang menarik dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj titah baginda, ialah penglibatan masjid, dua buah masjid adalah berkaitan iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa.

Perkara ini menunjukkan betapa istimewanya kedudukan masjid, ia bukan saja untuk tempat berhimpun kerana beribadat tetapi juga lain-lain kegiatan berkebajikan serta menjadi syi'ar terpenting bagi ugama, titah baginda.

- Pelita Brunei Online. Khamis, 29 Mei 2014.