Sabtu, 9 Mac 2024

Waktu-Waktu Persekolahan Semasa Bulan Ramadhan Bagi Sekolah-Sekolah Arab dan Ugama Bagi Tahun 1445H / 2024

 


SESUAIKAN DIRI DENGAN SISTEM INTEGRASI

Oleh: Pg. Syiaruddin Pg. Dauddin 
Foto: Hernie Suliana Haji Othman, Muhammad Asri Haji Awang Abas

BERAKAS, Khamis, 7 Mac. - Pengintegrasian mata pelajaran ugama ke dalam sistem persekolahan umum sememangnya masih lagi terbuka untuk dikaji. Kajian berkenaan dibuat oleh jawatankuasa yang sudah ditubuhkan, yang mengkaji dari semua aspek seperti prasarana, perisian pelajaran dan banyak lagi. 
    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka  Haji Awang Othman  menjelaskan perkara tersebut pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 
    Semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin  Haji Mohamed mengenai Kesihatan Mental Guru-guru yang Terkesan dengan Sistem Integrasi, Yang Berhormat Menteri menerangkan ia masih lagi dalam kajian. 
    “Setengah pihak sudah merasakan seolah-olah kitani ini sudah deadlock oleh pengintegrasian ini, sedangkan integrasi ini belum pun sampai setahun dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah sangat jelas, terbuka untuk dikaji,” ujar Yang Berhormat lagi. 
    Terdahulu, Yang Berhormat Menteri menerangkan, integrasi ini suatu perkara yang baharu yang dalam pelaksanaannya menghendaki cara-cara baharu bagi guru-guru, selain mereka menghadapi keadaan dan suasana yang baharu. 
    Oleh itu, Yang Berhormat Menteri menasihatkan agar para tenaga pengajar yang terlibat dengan sistem integrasi ini untuk berusaha menyesuaikan diri, melepaskan diri daripada perasaan ‘uqdah.

- Pelita Brunei Online.

Ahad, 3 Disember 2023

Peniadaan Tawaran Mata Pelajaran Faraidh Darjah VI Di Sekolah-Sekolah Ugama.

Yang Mulia

Guru-Guru Besar,
Sekolah-sekolah Ugama NBD,
Jabatan Pengajian Islam,
Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

‎السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dengan penuh hormat sukacita merujuk minit yang diedarkan bilangan rujukan: JPI/BKR/06 pt.3 (37) bertarikh 18 Jamadilawal 1445H bersamaan dengan 02 Disember 2023M mengenai  Peniadaan Tawaran Mata Pelajaran Faraidh Darjah VI Di Sekolah-Sekolah Ugama.

2.     Dimaklumkan bahawa perkara di atas tidak lagi ditawarkan di sekolah-sekolah ugama berkuatkuasa pada Bulan Januari 2024.

3. Berikutan dengan perubahan tersebut, Mata Pelajaran Faraidh Darjah VI juga tidak lagi tersenarai sebagai mata pelajaran yang diperiksakan dalam Peperiksaan Sijil Sekolah - Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bermula tahun 2024.

4. Kaitan dengan itu, period bagi Mata Pelajaran Faraidh akan digantikan dengan Mata Pelajaran Solat. Perincian maklumat mengenainya boleh dirujuk melalui Sukatan Pelajaran Keluaran Disember, 2024 yang akan dikeluarkan kemudian.

5. Bahagian Kurikulum juga memohon kerjasama pihak Cikgu untuk mengambil maklum dan mengongsikan perkara tersebut kepada semua guru ugama yang terlibat mengenai perubahan tersebut.

6. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, pihak Cikgu bolehlah merujuk terus ke Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam di talian 2231035 atau 2231018.

Sekian disampaikan untuk perhatian dan tindakan Yang Mulia Cikgu mengenainya dan terima kasih atas kerjasama padu yang diberikan.

‎والسلام

Integriti Tonggak Kecemerlangan


Jabatan Pengajian Islam
Negara Brunei Darussalam

Isnin, 23 Oktober 2023

Pengintegrasian mata pelajaran ugama ke sistem pendidikan umum

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-39 Bagi Tahun 1444H/2023M, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan dengan ini sukacita mengumumkan ‘Pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke Dalam Sistem Pendidikan Umum’.

Pengintegrasian mata pelajaran Ugama ke dalam sistem pendidikan umum akan mula dilaksanakan pada 1 November 2023.

Melalui pengintegrasian itu, mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah ugama akan diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.

Pengintegrasian tersebut hanya akan melibatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di peringkat Pra sehingga Darjah 3 Ugama.

Dalam hal berkenaan, pelajar-pelajar itu akan mengikuti Pendidikan Ugama mereka di sekolah rendah masing-masing. Manakala, pelajar-pelajar yang menuntut dalam Darjah 4 hingga Darjah 6 Ugama masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah Ugama seperti lazimnya.

Berikutan itu, waktu persekolahan untuk sekolah-sekolah yang terlibat bagi pelajar-pelajar yang dimaksudkan akan diubah dan diselaraskan masanya bermula jam 7:30 pagi hingga 12:00 tengah hari dan 1:30 petang hingga 3:00 petang.

Mata pelajaran Ugama yang diintegrasikan ke dalam jadual pendidikan umum akan diajar selama satu jam iaitu dua waktu atau period sehari.

Pakaian seragam sekolah juga akan diselaraskan di mana pelajar-pelajar hanya memakai satu seragam sekolah sahaja iaitu pakaian seragam di sekolah rendah kerajaan dan swasta serta sekolah antarabangsa masing-masing.

Antara tujuan pengintegrasian tersebut adalah untuk menjaga kesejahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan mengurangkan masa berada di sekolah, yang akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar.

Selain itu, perubahan itu juga diharap akan meningkatkan lagi efisiensi pembelajaran, di mana waktu persekolahan yang berkurang akan memberi ruang kepada guru dan para pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran yang lebih berkualiti.

Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para guru, pemimpin-pemimpin sekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah antarabangsa dan sekolah-sekolah ugama serta kefahaman dan kerjasama dari pihak ibu bapa dan penjaga semasa pelaksanaan pengintegrasian itu.

Dengan sokongan padu daripada semua pihak yang berkepentingan, serta dengan bertawakal ke hadrat Allah S.W.T., Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan akan dapat melaksanakan pengintegrasian itu dengan lancar dan jayanya demi kesejahteraan anak-anak kita semua.

- Media Permata Online. 23 Oktober 2023.