Sabtu, 9 Mac 2024

SESUAIKAN DIRI DENGAN SISTEM INTEGRASI

Oleh: Pg. Syiaruddin Pg. Dauddin 
Foto: Hernie Suliana Haji Othman, Muhammad Asri Haji Awang Abas

BERAKAS, Khamis, 7 Mac. - Pengintegrasian mata pelajaran ugama ke dalam sistem persekolahan umum sememangnya masih lagi terbuka untuk dikaji. Kajian berkenaan dibuat oleh jawatankuasa yang sudah ditubuhkan, yang mengkaji dari semua aspek seperti prasarana, perisian pelajaran dan banyak lagi. 
    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka  Haji Awang Othman  menjelaskan perkara tersebut pada hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 
    Semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin  Haji Mohamed mengenai Kesihatan Mental Guru-guru yang Terkesan dengan Sistem Integrasi, Yang Berhormat Menteri menerangkan ia masih lagi dalam kajian. 
    “Setengah pihak sudah merasakan seolah-olah kitani ini sudah deadlock oleh pengintegrasian ini, sedangkan integrasi ini belum pun sampai setahun dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah sangat jelas, terbuka untuk dikaji,” ujar Yang Berhormat lagi. 
    Terdahulu, Yang Berhormat Menteri menerangkan, integrasi ini suatu perkara yang baharu yang dalam pelaksanaannya menghendaki cara-cara baharu bagi guru-guru, selain mereka menghadapi keadaan dan suasana yang baharu. 
    Oleh itu, Yang Berhormat Menteri menasihatkan agar para tenaga pengajar yang terlibat dengan sistem integrasi ini untuk berusaha menyesuaikan diri, melepaskan diri daripada perasaan ‘uqdah.

- Pelita Brunei Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan