Oleh Hasrulraizan
Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien kepada Yang Amat Mulia Pengiran Seri Negara Pengiran Haji Mohd Yusof.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept - Menyentuh sanubari apabila pemimpin tertinggi di negara ini,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan bahawa dengan
kemahuan Baginda sendiri, Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 telah digubal yang akan berkuatkuasa
mulai 1 Januari 2013.
Menurut Baginda Sultan sewaktu bertitah di Majlis Sambutan Hari Guru Ke-22, 2012 pagi ini, dengan
berjalannya undang-undang itu nanti, tidak akan ada lagi kanak-kanak Islam di negara ini yang akan tercicir
dari memahami dan mengetahui asas pendidikan Islam, tidak pandai solat dan tidak pandai membaca Al-Quran.
Pada majlis di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas itu, Baginda Sultan dalam titah
Baginda turut menyentuh mengenai perlunya peningkatan lanjut penguasaan kemahiran pelajar di peringkat
rendah dan menengah dalam bidang Matematik, Bahasa Inggeris dan khususnya Bahasa Melayu.
Baginda Sultan turut bertitah akan perlunya Kementerian Pendidikan melihat Skim Perkhidmatan
Pendidikan Teknik serta memberikan inovasi kepada skim berkenaan untuk membolehkan tenaga kerja di
industri itu dapat menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian teknik, sama ada secara sambilan ataupun
sepenuh masa.
Baginda juga menekankan sangat perlunya diberikan perhatian bahawa
dalam pendidikan itu terdapat dua
unsur, ugama dan umum, dan orang-orang sering lupa dan malah terlajak
mengutamakan yang umum saja,
sehingga tertinggal atau tercicir ugama. Dalam hubungan itu, Brunei
sendiri turut mengalami sindrom
"lupa" itu dengan membiarkan dirinya tidak mempunyai sistem persekolahan
"Wajib Ugama" selama kira-kira 50 tahun, suatu keterlaluan yang amat
dikesalkan, titah Baginda Sultan lanjut.
"Maka dengan kemahuan Beta sendiri, satu undang-undang khas telah digubal yang dikenali sebagai
Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012. Undang-undang ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013.
"Dengan berjalannya undang-undang ini, insya Allah, tidaklah akan ada lagi kanak-kanak Islam di negara
ini yang akan tercicir dari memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam. Tidak akan ada lagi
orang yang tidak pandai sembahyang dan membaca Al-Quran.
"Menyentuh perkembangan pendidikan khususnya pendidikan di peringkat rendah dan menengah, dalam
pemerhatian Beta dan hasil maklumat dari lawatan ke sekolah-sekolah kerajaan, penguasaan kemahiran
pelajar dalam bidang Matematik dan Bahasa, sungguhpun ada menunjukkan kemajuan, namun masih saja
memerlukan peningkatan."
Titah Baginda, perkara itu penting memandangkan penguasaan dari peringkat asas adalah tapak yang kukuh
untuk meneruskan pelajaran ke pengajian menengah dan tinggi.
Sehubungan itu, Baginda Sultan bertitah supaya usaha mestilah dipertingkatkan lagi bagi menutupi
kekurangan guru-guru tempatan yang mengajar dua bidang berkenaan iaitu Bahasa dan Matematik.
"Apabila Beta menyebut 'Bahasa', bukanlah terhad kepada Bahasa Inggeris saja. Malah juga Bahasa
Melayu sendiri. Kerana khabar-khabarnya, markah Bahasa Melayu dalam ujian atau peperiksaan sering
didapati rendah berbanding markah Bahasa Inggeris.
"Kalaulah itu benar, mengapakah pelajaran Bahasa Melayu juga tidak dikuatkan? Ingatlah, bahawa bahasa
itu adalah jiwa bangsa.
"Beta difahamkan beberapa inisiatif sedang giat diusahakan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha
meningkatkan pendidikan melalui amalan-amalan terbaik global termasuk pelaksanaan projek-projek seperti
Model Schools dan Learning Educators Advancing Pedagogy for 21st Century."
Dimensi-dimensi yang diserapkan dalam Model Schools termasuklah autonomi dalam tadbir-urus,
hubungan dengan komuniti, perubahan budaya sekolah dan pembangunan kapasiti guru adalah merupakan
antara amalan terbaik antarabangsa yang terkandung dalam projek berkenaan, titah Baginda Sultan.
Semua itu diharapkan dapat menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang masing-masing,
titah Baginda Sultan lagi.
"Dalam bidang pendidikan teknik pula Beta difahamkan satu kajian mengenainya sedang dilaksanakan.
Beta berharap kajian ini akan dapat diteliti untuk dilaksanakan." Menurut Baginda Sultan, satu perancangan
strategi perlulah diusahakan bagi tujuan mencapai matlamat pendidikan teknik berkenaan termasuk jika
perlu, penglibatan secara langsung oleh pihak industri dan pengusaha, sehingga membolehkan mereka
mengongsikan pengalaman serta kepakaran masing-masing.
"Ke arah ini, Kementerian Pendidikan perlulah melihat skim perkhidmatan Pendidikan Teknik serta
memberikan inovasi kepada skim tersebut untuk membolehkan tenaga kerja di industri ini dapat menjadi
tenaga pengajar di institusi pengajian teknik, sama ada secara sambilan ataupun sepenuh masa.
Ketika bertitah, Baginda Sultan turut mengambil kesempatan dengan ikhlas mengucapkan Selamat Hari
Guru kepada semua warga guru di Negara ini sambil berdoa semoga sambutan yang diraikan itu dapat
menyemarakkan terus semangat para guru dalam menyumbang khidmat selaku pendidik.
Di kesempatan itu, Baginda Sultan juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih di atas
penglibatan para murid dan pelajar di sekolah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan
Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam Majlis Khatamal Quran Sebanyak 66 Kali Bersempena dengan
Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang Ke-66 Tahun.
Titah Baginda Sultan, kegiatan seumpama itu boleh membantu usaha ke arah melahirkan model insan yang
berilmu, berkepandaian serta beriman.
Menyentuh tema Hari Guru tahun ini, Guru Berkualiti Pelajar Berinovasi, Baginda Sultan bertitah tema itu
jelas menuntut kapasiti guru dan peranan mereka untuk melahirkan pelajar yang berdaya maju.
"Kualiti guru pada hemat Beta mencakupi beberapa perkara pokok iaitu peribadi yang baik untuk diteladani
oleh pelajar, sikap ikhlas, cekap dan kaya ilmu untuk mendidik para murid atau pelajar menjadi insan yang
berpengetahuan dan berakhlak mulia."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan