Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan - Kini bermula satu era baru dalam pendidikan
ugama bagi Negara Brunei Darussalam, apabila Perintah Pendidikan Ugama Wajib
2012 mula dikuatkuasakan hari ini.
Pelaksanaan perintah itu bukan sahaja menunjukkan komitmen negara untuk
melahirkan insan dan rakyat Brunei yang berwibawa serta lengkap dari segi rohani
dan jasmani tetapi juga menjunjung harapan untuk menjadikan Negara Brunei
Darussalam sebuah Negara Zikir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada
Majlis Sambutan Haji Guru ke-22 bertitah;
"Dengan berjalannya undang-undang ini, insya-Allah, tidaklah akan ada lagi
kanak-kanak Islam di negara ini yang akan tercicir dari memahami dan mengetahui
ilmu asas pendidikan Islam.
"Tidak akan ada lagi orang yang tidak pandai sembahyang dan membaca
Al-Quran."
Perintah itu adalah bagi kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah ugama yang
bermakna seorang kanak-kanak Islam yang berumur tujuh tahun atau ke atas yang
belum lagi mencapai umur 15 tahun dan yang memenuhi syarat-syarat untuk mendapat
pendidikan ugama prasekolah dan rendah.
Manakala "Pendidikan Ugama" bermakna pendidikan ugama mengikut ajaran Islam
menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Perintah itu juga menyatakan mengenai tanggungjawab ibu bapa dimana tiap-tiap
ibu bapa hendaklah, jika anaknya adalah seorang kanak-kanak yang berumur wajib
bersekolah ugama pada 1 Januari dalam tahun bersekolah semasa iaitu 2013,
memastikan bahawa anaknya itu didaftarkan sebagai seorang murid di sebuah
sekolah ugama pada tahun itu dan terus menjadi seorang murid bagi tempoh
pendidikan ugama wajib.
Ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawabnya seperti di atas adalah
melakukan suatu kesalahan di mana hukuman denda maksimum $5,000 atau penjara
maksimum setahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada ibu bapa yang
gagal mendaftarkan anak-anak mereka bersekolah ugama ketika Perintah Pendidikan
Ugama Wajib 2012 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013.
Kanak-kanak yang terkandung dalam perintah itu ialah kanak-kanak berumur
wajib bersekolah ugama, yang berugama Islam, lahir pada atau selepas 1 Januari
2006, tinggal di Negara Brunei Darussalam dan kedua ibu bapanya atau salah
seorang daripada mereka adalah warganegara Negara Brunei Darussalam atau
penduduk tetap.
Menyentuh mengenai hukuman yang dikenakan bagi orang yang melakukan
kesalahan, Perintah itu menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan suatu
kesalahan di bawah Bab 5(2) boleh jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda
tidak melebihi dari $5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi
dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dengan pelaksanaan perintah itu, kepada segenap lapisan masyarakat khususnya
masyarakat Islam di negara ini, Islam akan terus utuh dan bertapak teguh dan
iltizam kehidupan berugama akan dapat di perkasa dan dipertahankan serta terus
dimartabatkan untuk sama-sama membangun ugama, bangsa dan negara ke arah
mencapai Wawasan 2035 dan menjadikan sebuah negara yang aman makmur dan
diberkati Allah Subhanahuwataala.
- Media Permata Online - Rabu, 2 Januari 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan