Selasa, 26 November 2013

Berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun Sekolah Al-Falaah

Oleh:  Abdullah Asgar



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2013M/1435H dan Penyampaian Sijil bagi Murid-Murid Tadika 3 dan Tahun 6 Sekolah Al-Falaah. (Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas)

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Ihtifaal Penutup Penggal Akhir Tahun 2013 Masihi/1435 Hijriah dan Penyampaian Sijil Bagi Murid-Murid Tadika 3 dan Tahun 6 Sekolah Al-Falaah (AFS).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Auditorium AFS, Kampung Sungai Akar dijunjung oleh Ustaz Sayed Mu’aaz bin Sayed Hamid Al-Tahir dan Timbalan Pengetua AFS, Dayang Hajah Sharifah Mastura Al Sagoff binti Saiyed Zain.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti bacaan Surah Yaa Siin ayat 30 hingga 54 oleh murid-murid gabungan Kindergarten 3 AFS dan Ban 5 dipimpin oleh anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.


KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah murid-murid perempuan dari kelas K3 dan murid dari kelas Tahun 6 antara termasuk Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang terbaik ketiga dari Kindergarten 3 perempuan pagi. (Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas)

Dalam sembah alu-aluan Timbalan Pengetua AFS antara lain menyembahkan, pendaftaran tahun depan amat menggalakkan dan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa murid kerana kepercayaan mereka terhadap didikan dan pengajaran dunia akhirat yang diajarkan di sekolah tersebut.
Selain menyaksikan penyampaian sijil-sijil kepada Kindergarten 3 dan Tahun 6 serta hadiah kepada pelajar cemerlang, majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada mereka yang mengharumkan nama sekolah.

Jelasnya, tahun ini dua orang murid telah mendapat tempat pertama Kategori 'A' dan 'B' seorang murid tempat kedua Kategori 'A' dalam Pertandingan Menghafaz Ayat-Ayat Al-Qur'an Peringkat Nasional sempena Sambutan Nuzul Al-Qur'an yang dikendalikan oleh MABIMS dan seorang murid menjadi johan Pertandingan Pidato Antara Sekolah-Sekolah Swasta Senegara.


MAJLIS diserikan dengan nyanyian nasyid oleh murid-murid kelas K2 yang juga disertai oleh anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Wakeel dan anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)

Pada majlis terebut, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah kepada murid-murid lelaki seramai 41 orang daripada kelas K3 dan murid Tahun 6 dan murid-murid cemerlang Tahun 1 hingga 6 serta para pemenang Pertandingan Menghafaz Ayat-Ayat Suci Al-Qur'an Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Nuzul Al-Qur'an 2013.

Sementara itu, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri pula berkenan mengurniakan penganugerahan sijil dan hadiah kepada 41 murid-murid perempuan dari kelas K3 dan murid daripada kelas Tahun 6 antara termasuk Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang terbaik ketiga dari Kindergarten 3 perempuan pagi.

Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Ahli Jawatankuasa Majlis tersebut.


TIMBALAN Pengetua AFS, Dayang Hajah Sharifah Mastura Al Sagoff binti Saiyed Zain ketika menyembahkan sembah alu-aluan. (Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)

Terdahulu, majlis diserikan dengan beberapa persembahan pentas antaranya sketsa, mari bercerita dan nyanyian nasyid oleh murid-murid kelas K2 yang juga disertai oleh anakanda Kebawah DYMM iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

AFS yang pada mulanya terletak di Jalan Jawatan Dalam, Bandar Seri Begawan telah beroperasi pada 3 April 1995 dengan keramaian 13 murid belajar di kelas Tadika dan membuka cawangan baru di Jalan Ong Sum Ping yang mula beroperasi pada 24 Februari 1998.

Pada awal tahun penubuhannya, AFS mempunyai 126 murid dan jumlah keramaian tersebut meningkat kepada 1,200 orang pada tahun 2001.

Untuk menampung keramaian murid, AFS telah membuka cawangan barunya di Ban 5, Kampung Paya, Mulaut pada Januari 1999.

Sementara, kompleks baru AFS Cawangan Sungai Akar yang terletak di atas kawasan seluas kira-kira 3.7 ekar telah dirasmikan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 20 Oktober 2011.

(Pelita Brunei Online: Ahad, 24 November 2013)
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan