Khamis, 5 Mac 2015

Membaca Ratib Al-Attas Banyak Fadilat Dan Hikmah

Hezlinawati Haji Abdul Karim

TEMBURONG, Isnin, 12 Januari. - Ratib Al-Attas mendatangkan banyak faedah bagi setiap umat Islam yang mengamalkannya antaranya dipelihara oleh Allah Subhanahu Wata’ala daripada terkena sihir serta terlindung daripada penyakit dan bala.
Faedah Ratib Al-Attas itu didedahkan dalam tazkirah sempena Program Keugamaan Senegara Bagi Bulan Januari 1436 Hijrah/2015 Masihi yang diadakan di seluruh sekolah-sekolah agama dan Arab di seluruh negara termasuklah di daerah ini.
Tazkirah juga menjelaskan bahawa jika ada perkara mustahak maka ratib hendaklah dibacakan sebanyak 40 kali dalam suatu majlis, iaitu dengan menghimpunkan jemaah yang tidak kurang daripada 40 orang untuk membaca bersama sama ada pada waktu malam selepas waktu Maghrib atau Isyak, namun boleh juga dibaca waktu siang.
Lebih 200 murid dan tenaga pengajar di Sekolah Ugama Bokok, Mukim Bokok menyertai program anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu yang antara lain mempunyai matlamat untuk memupuk minat murid-murid membaca Ratib Al-Attas khas bagi memohon hajat kesejahteraan hidup di dunia dan  akhirat.
Sebahagian daripada peserta Program Keugamaan Senegara bagi Bulan Januari 1436 Hijriah / 2015 Masihi yang diadakan di Sekolah Ugama Bokok dengan memfokuskan kepada pembacaan Ratib Al-Attas. (Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim)
Sebahagian daripada peserta Program Keugamaan Senegara bagi Bulan Januari 1436 Hijriah / 2015 Masihi yang diadakan di Sekolah Ugama Bokok dengan memfokuskan kepada pembacaan Ratib Al-Attas. (Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim)
Dengan memfokuskan pembacaan Ratib Al-Attas, program juga mempunyai matlamat untuk memberi keyakinan kepada murid-murid bahawa setiap usaha yang dilakukan hendaklah dengan membanyakkan doa dan berserah kepada qada dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala.
Program seumpama itu juga sebagai galakan kepada murid-murid supaya rajin berzikir kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan mengingati-Nya.
Membaca Ratib Al-Attas sememangnya mempunyai banyak fadilat dan hikmah iaitu dapat membawa keamanan dan keselamatan bagi rumah tangga dan penghuninya daripada kebakaran, kecurian dan sebagainya.
-Pelita Brunei Online. Selasa, 13 Januari 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan