Selasa, 23 Jun 2015

KHEU sokong BIBD ALAF

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus memberikan sokongan kepada Program BIBD ALAF, untuk meningkatkan pendidikan kanak-kanak kurang berkemampuan, dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini.
MoU bagi memastikan komitmen berterusan ke arah kejayaan program berkenaan dimeterai di hadapan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Bangunan Tambahan Baru, KHEU.
Menandatangani bagi pihak KHEU ialah Setiausaha Tetap, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, manakala BIBD diwakili Pengarah Urusannya, Javed Ahmad.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU, para pengarah dan ketua-ketua jabatan di KHEU, serta beberapa ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Lembaga Penasihat Syariah, serta pihak pengurusan BIBD.
BIBD ALAF merupakan program bantuan komprehensif dan inklusif dalam pelbagai bentuk yang disediakan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan sepanjang pembelajaran dari peringkat rendah hingga tinggi.
Wakil KHEU dan BIBD bertukar-tukar dokumen.
Wakil KHEU dan BIBD bertukar-tukar dokumen.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Program BIBD ALAF di antara KHEU dan BIBD.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman Program BIBD ALAF di antara KHEU dan BIBD.

Menurut kenyataan KHEU, program ini adalah sebagai mendukung inspirasi negara bagi menjana masa depan pendidikan ke suatu tahap paling tinggi di dunia dan seterusnya dapat menyumbang kepada melahirkan sumber tenaga manusia yang berilmu dan berdaya saing bagi memperkasa ekonomi negara dan kemajuan negara.
Program ini diurus atau dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas di antara Ababil Resources yang merupakan konsultan Program BIBD ALAF bersama Jabatan Pengajian Islam, KHEU melalui penubuhan lembaga pemegang amanah BIBD, yang memfokuskan kepada kemajuan pendidikan kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim, ke arah melahirkan individu yang berkualiti melalui pendidikan bermutu.
Di samping itu juga, memupuk kesedaran orang awam dalam sama-sama menaik taraf mutu pendidikan dalam kalangan keluarga yang kurang bernasib baik, yang akan dapat memantau keberhasilan pendidikan para pelajar yang menerima bantuan mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka, mengikut kriteria-kriteria dan kategori yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu lagi, di antara kategori bantuan yang dihulurkan merangkumi Dana Bantuan Pelajaran dan Kemaslahatan seperti Bantuan Kaca Mata, Bantuan Pengangkutan, Bantuan Tuisyen, Bantuan Projek Sekolah dan sebagainya.
Projek ini akan diungkayahkan tahun demi tahun, dan pihak BIBD ALAF akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Islam KHEU demi masa depan para pelajar yang merupakan antara aset negara yang sangat berharga.
Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam dalam kenyataannya menjelaskan, program BIBD ALAF dilancarkan pada tahun 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, dan telah memasuki tahun keduanya, yang mana baru-baru ini telah menganugerahkan bantuan kepada 33 pelajar yang kurang berkemampuan dan pada tahun lepas seramai 63 pelajar menerima anugerah berkenaan.
- Media Permata - 9 Jun 2015.

66 murid SU Salambigar diraikan



Oleh Fairul Haji Hamidon
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Seramai 66 murid Sekolah Ugama Salambigar, Brunei IIB telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran anjuran Bahagian Ko-kurikulum Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, sebagai dorongan kepada generasi muda agar menjadi seorang yang celik Al-Quran.
Para peserta khatam terdiri daripada 54 murid Darjah 6 dan 12 murid Darjah 2 hingga 5.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Salambigar, Awang Masrolazami bin Abdullah manakala doa khatam dibacakan oleh murid Darjah 6, Awangku Muhammad Saiful Adli bin Pengiran Suhaini.
Ia diteruskan dengan upacara merenjis minyak wangi dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta khatam yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Profesional, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Hajijah binti Haji Moktal.
Majlis disudahi dengan bacaan doa selamat dan doa menghadapi peperiksaan.
Murid-murid yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran SU Salambigar.
Murid-murid yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran SU Salambigar.

pg06_150602_d

- Media Permata - 2 Jun 2015.

Al-Qur'an Kalam Allah


Oleh: Nooratini Haji Abas

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika berucap dalam Pembukaan Bengkel Tarannum Al-Quran Jabatan Pengajian Islam. | FOTO: PELITA BRUNEI (Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali)
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika berucap dalam Pembukaan Bengkel Tarannum Al-Quran Jabatan Pengajian Islam. | FOTO: PELITA BRUNEI (Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. - Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar menyatakan, Al-Qur'an adalah Kalam Allah Subhanahu Wata'ala yang mulia dan agung.
Kemuliaan dan keagungannya merangkumi semua aspek sama ada dari sudut 'i'jaz'nya, keagungan bahasanya, perkhabaran tentang peristiwa yang berlaku pada masa lalu dan yang akan berlaku pada masa akan datang, keindahan dari sudut bacaan mesti dibaca dengan bacaan yang baik bersesuaian dengan status Al-Qur'an itu sendiri.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Tarannum Al-Qur'an, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), di sini.
Menurutnya, Bengkel Tarannum Al-Qur'an merupakan suatu usaha yang baik lagi bermanfaat bagi menambah, meningkat dan memantapkan pengetahuan, kemahiran dan mutu bacaan para peserta bengkel khususnya para tenaga pengajar Al-Qur'an di sekolah-sekolah dan juga tenaga pengajar Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja kelolaan JPI.
"Kebanyakan tenaga pengajar adalah guru-guru agama JPI yang mengajar di persekolahan agama dan Arab. Dengan ini, kemahiran dalam pembacaan Al-Qur'an secara bertarannum akan dapat dikembangkan lagi dalam pengajaran dan pembelajaran para guru di persekolahan berkenaan," tambahnya.
Oleh itu, apabila disebut membaca bertarannum, maka ia jelasnya, memberi maksud mencantikkan dan mengelokkan suara mengikut nada dan lagu tertentu, iaitu secara berlagu. Lagu-lagu dalam pembacaan Al-Qur'an seperti lagu Bayati, Ras, Sikah, Nahwan dan lain-lain lagi adalah lagu-lagu Al-Qur'an yang sudah 'establish' yang perlu dikuasai oleh setiap pembaca Al-Qur'an.
Dari itu, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom mengingatkan semua para pembaca Al-Qur'an bahawa dalam keghairahan kita untuk memperelok bacaan Al-Qur'an dengan bertarannum, agar bacaan tajwid itu hendaklah sentiasa diambil perhatian dan dipelihara kerana bacaan Al-Qur'an bertajwid itu wajib hukumnya dan janganlah kita melebihkan aspek tarannum sehingga membelakangi aspek tajwid.
Seterusnya, beliau berharap para peserta akan dapat menimba sebanyak ilmu khasnya dari sudut bacaan Al-Qur'an secara berlagu atau bertarannum di sepanjang bengkel dijalankan dan akan memanfaatkannya dalam pengajaran nanti.
Para peserta juga diharap akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang tarannum serta melipatgandakan usaha bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran para pelajar pada masa ini dan masa hadapan.
Pelita Brunei Online - Selasa 28 April 2015.