Oleh: Nooratini Haji Abas
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika berucap dalam Pembukaan Bengkel Tarannum Al-Quran Jabatan Pengajian Islam. | FOTO: PELITA BRUNEI (Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali)
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. - Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar menyatakan, Al-Qur'an adalah Kalam Allah Subhanahu Wata'ala yang mulia dan agung.
Kemuliaan dan keagungannya merangkumi semua aspek sama ada dari sudut 'i'jaz'nya, keagungan bahasanya, perkhabaran tentang peristiwa yang berlaku pada masa lalu dan yang akan berlaku pada masa akan datang, keindahan dari sudut bacaan mesti dibaca dengan bacaan yang baik bersesuaian dengan status Al-Qur'an itu sendiri.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Tarannum Al-Qur'an, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), di sini.
Menurutnya, Bengkel Tarannum Al-Qur'an merupakan suatu usaha yang baik lagi bermanfaat bagi menambah, meningkat dan memantapkan pengetahuan, kemahiran dan mutu bacaan para peserta bengkel khususnya para tenaga pengajar Al-Qur'an di sekolah-sekolah dan juga tenaga pengajar Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja kelolaan JPI.
"Kebanyakan tenaga pengajar adalah guru-guru agama JPI yang mengajar di persekolahan agama dan Arab. Dengan ini, kemahiran dalam pembacaan Al-Qur'an secara bertarannum akan dapat dikembangkan lagi dalam pengajaran dan pembelajaran para guru di persekolahan berkenaan," tambahnya.
Oleh itu, apabila disebut membaca bertarannum, maka ia jelasnya, memberi maksud mencantikkan dan mengelokkan suara mengikut nada dan lagu tertentu, iaitu secara berlagu. Lagu-lagu dalam pembacaan Al-Qur'an seperti lagu Bayati, Ras, Sikah, Nahwan dan lain-lain lagi adalah lagu-lagu Al-Qur'an yang sudah 'establish' yang perlu dikuasai oleh setiap pembaca Al-Qur'an.
Dari itu, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom mengingatkan semua para pembaca Al-Qur'an bahawa dalam keghairahan kita untuk memperelok bacaan Al-Qur'an dengan bertarannum, agar bacaan tajwid itu hendaklah sentiasa diambil perhatian dan dipelihara kerana bacaan Al-Qur'an bertajwid itu wajib hukumnya dan janganlah kita melebihkan aspek tarannum sehingga membelakangi aspek tajwid.
Seterusnya, beliau berharap para peserta akan dapat menimba sebanyak ilmu khasnya dari sudut bacaan Al-Qur'an secara berlagu atau bertarannum di sepanjang bengkel dijalankan dan akan memanfaatkannya dalam pengajaran nanti.
Para peserta juga diharap akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang tarannum serta melipatgandakan usaha bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran para pelajar pada masa ini dan masa hadapan.
Pelita Brunei Online - Selasa 28 April 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan