Selasa, 23 Jun 2015

KHEU sokong BIBD ALAF

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus memberikan sokongan kepada Program BIBD ALAF, untuk meningkatkan pendidikan kanak-kanak kurang berkemampuan, dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini.
MoU bagi memastikan komitmen berterusan ke arah kejayaan program berkenaan dimeterai di hadapan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Bangunan Tambahan Baru, KHEU.
Menandatangani bagi pihak KHEU ialah Setiausaha Tetap, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, manakala BIBD diwakili Pengarah Urusannya, Javed Ahmad.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEU, para pengarah dan ketua-ketua jabatan di KHEU, serta beberapa ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Lembaga Penasihat Syariah, serta pihak pengurusan BIBD.
BIBD ALAF merupakan program bantuan komprehensif dan inklusif dalam pelbagai bentuk yang disediakan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan sepanjang pembelajaran dari peringkat rendah hingga tinggi.
Wakil KHEU dan BIBD bertukar-tukar dokumen.
Wakil KHEU dan BIBD bertukar-tukar dokumen.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Program BIBD ALAF di antara KHEU dan BIBD.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman Program BIBD ALAF di antara KHEU dan BIBD.

Menurut kenyataan KHEU, program ini adalah sebagai mendukung inspirasi negara bagi menjana masa depan pendidikan ke suatu tahap paling tinggi di dunia dan seterusnya dapat menyumbang kepada melahirkan sumber tenaga manusia yang berilmu dan berdaya saing bagi memperkasa ekonomi negara dan kemajuan negara.
Program ini diurus atau dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas di antara Ababil Resources yang merupakan konsultan Program BIBD ALAF bersama Jabatan Pengajian Islam, KHEU melalui penubuhan lembaga pemegang amanah BIBD, yang memfokuskan kepada kemajuan pendidikan kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim, ke arah melahirkan individu yang berkualiti melalui pendidikan bermutu.
Di samping itu juga, memupuk kesedaran orang awam dalam sama-sama menaik taraf mutu pendidikan dalam kalangan keluarga yang kurang bernasib baik, yang akan dapat memantau keberhasilan pendidikan para pelajar yang menerima bantuan mencapai kejayaan dalam pendidikan mereka, mengikut kriteria-kriteria dan kategori yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu lagi, di antara kategori bantuan yang dihulurkan merangkumi Dana Bantuan Pelajaran dan Kemaslahatan seperti Bantuan Kaca Mata, Bantuan Pengangkutan, Bantuan Tuisyen, Bantuan Projek Sekolah dan sebagainya.
Projek ini akan diungkayahkan tahun demi tahun, dan pihak BIBD ALAF akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Islam KHEU demi masa depan para pelajar yang merupakan antara aset negara yang sangat berharga.
Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam dalam kenyataannya menjelaskan, program BIBD ALAF dilancarkan pada tahun 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, dan telah memasuki tahun keduanya, yang mana baru-baru ini telah menganugerahkan bantuan kepada 33 pelajar yang kurang berkemampuan dan pada tahun lepas seramai 63 pelajar menerima anugerah berkenaan.
- Media Permata - 9 Jun 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan