Khamis, 9 Jun 2016

Bulan Ramadan tidak jejas reputasi pelajar

Oleh:  Marlinawaty Hussin / Foto : Hernie Suliana Haji Othman 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Bulan Ramadan tidak menjejaskan reputasi setiap pelajar untuk terus menimba ilmu pengetahuan seperti hari-hari yang lain.

Pegawai Pelajaran Ugama, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohamad, selaku Penolong Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop berkata, sesi pembelajaran di sekolah-sekolah ugama pada bulan Ramadan lebih memfokuskan pada aktiviti membaca Al-Quran, pelajaran amali dan memperhalusi tajwid.

Menurutnya, para pelajar akan melakukan aktiviti bertadarus sepanjang bulan Ramadan ini bersama dengan guru-guru sebelum memulakan sesi pembelajaran.

080616 HERNIE01 UGAMA PAGI
PENOLONG Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohammad semasa ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI.

''Alhamdulilah, pelajar-pelajar tiada masalah dalam memberikan tumpuan pada pelajaran walaupun berpuasa kerana masa belajar yang singkat,'' katanya kepada Pelita Brunei.

Pelajar Darjah V Alif, Awang Muhd. Mirza Luqman bin Awang Roslie menjelaskan, datang bersekolah ugama pada bulan Ramadan sama sahaja seperti hari-hari biasa dan kebanyakan aktiviti tertumpu dalam meningkatan pembacaan Al-Quran.

Sementara itu, Dayang Imanina Nazihah binti Idris, pelajar Darjah V Ta meberitahu, perbezaan bersekolah ugama pada bulan Ramadan dari hari-hari biasa adalah waktu persekolahan yang singkat, iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 9.30 pagi pada sesi pagi. Ini membolehkannya untuk mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum menghadiri sekolah pada sesi petang.

Bagi Tengku Putri Nur Afifa Quo'ryrah binti Tengku Putra Haji Amir Farouk yang akan menghadapi Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSRU) berkata, bersekolah di bulan berkenaan membantunya untuk menghadapi peperiksaan itu nanti yang akan diadakan pada bulan Ogos ini.

Di samping itu, beliau juga banyak melakukan ulang kaji pada sebelah malam sebagai persiapan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

080616 HERNIE03 UGAMA PAGI
MURID Darjah 4 Alif Sekolah Ugama Lambak Kanan (sesi pagi), Awang Ahmad Amir Syukri bin Haji Ghazali seronok bersekolah ugama di bulan Ramadan.

Awang Ahmad Amir Syukri bin Haji Ghazali yang pertama kali bersekolah ugama di bulan puasa berkata, beliau berasa seronok kerana dapat bersama-sama rakan-rakannya melakukan aktiviti bertadarus dan membaca Al-Quran.

''Pada masa ini, saya sudah membaca Al-Quran hingga juzuk empat,'' kata pelajar Darjah IV Alif yang bersekolah di Sekolah Ugama Lambak Kanan ini.

- Pelita Brunei Online. Hari Khamis, 03 Ramadhan 1437H / 09 June 2016M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan