Menurut Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri
Setia Dr Haji Mohammad
Pengiran Haji Abdul Rahman, bagi warganegara asing atau yang bukan
berugama Islam adalah masih dialu-alukan belajar di sekolah ugama
sebagaimana yang berjalan pada masa ini namun tidak terkandung di dalam
perintah berkenaan.
Bercakap pada sidang media di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang ini, Yang Berhormat
Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad berkata, dengan adanya akta perintah berkenaan, ia menjadi
satu mercu tanda kejayaan kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui KHEU dan Jabatan Pengajian Islam
(JPI) dalam merealisasikan pendidikan ugama di negara ini.
"Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 ini sudah tentu akan menjadi salah satu tapak semaian yang baik
dan sangat sesuai untuk kesuburan dan pertumbuhan falsafah Negara Melayu Islam Beraja di negara kita
ini."
Beliau menjelaskan, antara tafsiran dalam perintah itu ialah "kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah
ugama" bermakna seorang kanak-kanak Islam yang berumur 7 tahun atau ke atas yang belum lagi mencapai umur 15 tahun dan yang
memenuhi syarat-syarat untuk mendapat pendidikan ugama pra sekolah dan rendah.
Katanya, Pendidikan Ugama bermakna pendidikan ugama mengikut ajaran Islam menurut Ahli Sunnah
Wal-Jamaah.
Menurutnya lagi, perintah itu juga menyatakan tanggungjawab ibu bapa bahawa tiap-tiap ibu bapa
hendaklah, jika anaknya adalah seorang kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah ugama pada 1 Januari
dalam tahun bersekolah semasa, memastikan bahawa anaknya itu didaftarkan sebagai seorang murid di
sebuah sekolah ugama pada tahun itu dan terus menjadi seorang murid bagi tempoh pendidikan ugama
wajib.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad seterusnya berkata, ibu bapa yang gagal
menjalankan tanggungjawabnya tersebut adalah melakukan suatu kesalahan.
Beliau kemudiannya menjelaskan, "tempoh pendidikan ugama wajib" bermakna tempoh pendidikan ugama
yang disediakan di sesebuah sekolah ugama yang dirancang untuk selama 7 tahun tetapi boleh tamat antara
7 dan 8 tahun.
Menyentuh mengenai hukuman yang dikenakan bagi orang yang melakukan kesalahan, menurutnya perintah
itu menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Bab 5(2) boleh jika
sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi dari $5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak
melebihi dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.
"Insya Allah di masa depan tidak akan timbul lagi soal individu yang tidak pandai bersolat dan berwudhu,
tidak pandai thaharah (kesucian diri), tidak pandai membaca Al-Quran, tidak pandai jawi, tidak mengetahui
sah batal puasa dan seumpamanya, dan tidak akan timbul lagi mereka yang tercicir dari pendidikan ugama.
"Sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2013, JPI, KHEU telah pun mengatur rancangan untuk
memberigakan perkara ini kepada masyarakat, khasnya membuat jerayawara. Mudah-mudahan dengan itu ia
akan dapat difahami dan dilaksana dengan sempurna dan berjaya."
Sidang Media berkenaan diadakan adalah sebagai respons KHEU kepada titah Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sewaktu Majlis
Sambutan Hari Guru pada 24 September baru-baru ini yang antara lain bertitah mengumumkan seperti
berikut:
"Maka dengan kemahuan Beta, satu undang-undang khas telah digubal yang dikenali sebagai Perintah
Pendidikan Ugama Wajib 2012. Undang-undang ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2013".
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad berkata, "Kita bersyukur ke hadarat Allah
Ta'ala, dan menyambut dengan perasaan sukacita akan titah Baginda di atas, serta menyatakan akan
kesediaan kita untuk menjunjung dan melaksanakan dengan segala daya upaya akan kehendak titah itu, yang
setentunya memerlukan kerjasama dan komitmen penuh semua pihak dalam negara untuk mendukungnya
sehingga berjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan