Isnin, 7 Julai 2014

SU Jerudong International School adakan Majlis Khatam Al-Quran

TUNGKU, Jumaat, 27 Jun 2014 - Sekolah Ugama Jerudong International School (SU JIS) petang tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah VI sekolah berkenaan bagi tahun 1435H / 2014M. Majlis yang diadakan di Bilik Persidangan, Pusat Seni, Sekolah Antarabangsa Jerudong itu disertai oleh 42 orang yang terdiri dari murid-murid lelaki dan perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir ialah Penolong Pengarah (Profesional) Jabatan Pengajian Islam, Dayang Hajah Rusita binti Haji Yahya serta beberapa orang pegawai kanan jabatan berkenaan.

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Faatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis kemudian diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Bacaan takhtim turut dipersembahkan oleh murid-murid perempuan Darjah V sekolah berkenaan. Manakala doa khatam dibacakan oleh Ahmad Khairi bin Awang Yusof.

Majlis diserikan lagi dengan acara menabur bunga rampai dengan diiringi oleh bacaan dikir marhaban oleh murid-murid lelaki dari Darjah IV dan V. Majlis Khatam al-Quran ini merupakan salah satu rancangan tahunan SU JIS sejak tahun 2006 dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan