Oleh: Rohani Abdul Hamid.
Hadir di majlis ini ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman. (Foto: Masri Osman)
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 September. - Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), petang ini, mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-24 Tahun 1435 Hijriah/2014 Masihi dan 100 Tahun Pendidikan Formal Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof dan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.
Seramai 1,500 pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru daripada sekolah-sekolah, maktab-maktab, institusi pengajian tinggi, teknikal dan vokasional dari kedua-dua buah kementerian tersebut menghadiri majlis berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al Mulk, tahlil serta diikuti dengan bacaan doa kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan negara dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh dan diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.
Acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru Ke-24 dan 100 Tahun Pendidikan Formal tahun ini akan diadakan pada 9 Oktober 2014 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas yang bertema ‘Guru Berwawasan Penjana Modal Insan’.
Juga hadir pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
- Pelita Brunei Online. Selasa, 23 September 2014.