Selasa, 19 Januari 2016

Pelajar ITQSHHB diingatkan agar sentiasa istiqamah

  • Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd Sahrizal Haji Said
    • TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi.
      TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi.
      BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Januari. - Para pelajar baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) diseru supaya dapat menunjukkan kesungguhan dan ketekunan semasa mengikuti pengajian di institut tersebut.
      Berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu ITQSHHB Sesi 1437 Hijrah / 2016 Masihi, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud juga menyeru para pelajar institut berkenaan agar memenuhi hati dan jiwa raga dengan keikhlasan demi untuk menyahut dan menerima amanah Allah Subhanahu Wata’ala untuk menjaga dan memelihara kitab suci Al-Qur'an.
      Yang Mulia Dato Paduka juga mengingatkan para pelajar agar sentiasa istiqamah dan bijak membuat keputusan dalam menghafaz Al-Qur'an, di samping mempelajari mata pelajaran yang lain.
      Katanya, para pelajar juga perlu sabar dan tabah di dalam menghadapi apa jua rintangan dan cabaran semasa proses pembelajaran dan penghafazan, dekatkan diri dengan para pendidik dan pensyarah untuk meminta nasihat serta bimbingan.
      Terdahulu dari itu jelasnya, dengan kemasukan pelajar-pelajar baharu ini, ITQSHHB akan terus dapat mempertahankan kecemerlangan serta kejayaan dan membawa lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan dalam sama-sama menanaikan hasrat bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’.
      Institusi itu tambahnya, ditubuhkan bukan sahaja bertujuan bagi melahirkan modal insan yang memiliki satu-satu bidang semata-mata, akan tetapi juga dihasratkan, agar ia berjaya melahirkan lebih banyak modal insan yang mantap ilmu Al-Qurannya, di samping memiliki kepakaran dalam bidang lain.
      “Inilah yang ‘negara’ mahukan, generasi yang mantap Al-Qur'annya dan menjadikan ilmu Al-Qur'an itu sumber ilmu dan pegangan bagi membentuk pembangunan negara,” tegasnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, ITQSHHB.
      Mengambil berkat dan hikmah dengan sempena memperingati hari kelahiran Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Yang Mulia Dato Paduka menyeru kepada semua pelajar baharu untuk mengenali dan mencontohi Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai ‘Uswah Hasanah’ (sebaik-baik contoh) bagi semua umat Islam, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang bercita-cita untuk menghafaz kitab suci Al-Qur'an.
      Sebagaimana yang kita ketahui tambah Yang Mulia Dato Paduka, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menerima wahyu daripada Allah Subhanahu Wata’ala melalui malaikat Jibrail ‘alaihissalam lalu Baginda jaga wahyu tersebut dan seterusnya mengamalkannya serta menyebarkannya sepertimana yang kita terima sekarang ini iaitu Al-Qur'an Al-Karim.
      Yang Mulia Dato Paduka seterusnya menjelaskan, Baginda juga hadir sebagai ‘sebaik-baik makhluk’ di muka bumi ini adalah kerana pada Baginda akhlak yang sangat sempurna iaitu ‘akhlak Al-Qur'an’.
      Berhubung kait dengan itu juga jelasnya, dapatlah kita semua fahami bahawa akhlak memainkan peranan yang sangat penting khususnya ketika menimba ilmu pengetahuan.
      “Oleh itu, saya juga ingin menasihatkan dan memperingatkan kepada semua pelajar, sudah menjadi tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Islam untuk menjaga ibadatnya terutamanya sekali sembahyang fardu lima waktu, lebih-lebih lagi di dalam usaha menjadi seorang huffaz di era globalisasi yang cukup mencabar ini. Hadapi cabaran dan dugaan ini dengan penuh kesabaran dan ketakwaan,” ujarnya.
      Berkat usaha yang gigih daripada para pendidik di institut ini serta penglibatan dan kerjasama padu yang berterusan dari pihak ibu bapa serta penjaga, InsyaaAllah, kita akan dapat melahirkan lebih ramai para huffaz, tokoh ugama serta ilmuwan dengan calak Al-Qur'an yang akan dapat memberikan sumbangan ilmiah yang sangat bernilai kepada agama, masyarakat, negara dan bangsa seperti yang diharapkan.
      ‘Miftahul falah’ (kunci kejayaan) terletak di bahu para pendidik, para pelajar serta kerjasama yang diberikan daripada ibu bapa / penjaga pelajar itu sendiri.
    • - Pelita Brunei Online. Khamis, 14 Januari 2016M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan