Ahad, 10 Januari 2016

Pastikan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 dipatuhi

Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman beramah mesra bersama dengan salah seorang murid prasekolah yang baharu memulakan persekolahan.
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman beramah mesra bersama dengan salah seorang murid prasekolah yang baharu memulakan persekolahan.
  •  
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Januari. - Perintah Pendidikan Ugama Wajib yang mula berkuat kuasa sejak tiga tahun lalu bukanlah semata-mata untuk belajar ugama ataupun pelajaran ugama diajarkan sebagai satu mata pelajaran, malah ia adalah dihasratkan untuk memastikan adanya kesinambungan dalam persekolahan ugama.
Ia juga bermaksud bahawa adanya persekolahan ugama dalam satu peringkat di mana sekolah ugama itu mendidik dan mendisiplinkan para pelajar bagi melahirkan mereka sebagai seorang Muslim yang sempurna.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dalam temu bual bersama pihak media semasa mengadakan tinjauan pendaftaran murid-murid baharu Darjah Pra sekolah ugama tahun 2016 di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah (SUPAPMHB), Serusop.
Dalam memantapkan lagi sistem pendidikan ugama di negara ini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sudah menyediakan strategi-strategi khusus antaranya dalam menyediakan kemudahan dari setahun ke setahun, kemudahan tempat, persiapan para guru dan sebagainya.
070116 MASRI6 PRAUGAMA
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa ditemu bual oleh pihak media.

Apa yang paling penting, tambah Yang Berhormat, ialah tiada pelajar yang akan tercicir daripada pendidikan ugama.
Ini, jelas Yang Berhormat, kerana mengikut Akta Pendidikan Ugama Wajib ialah untuk memastikan generasi Brunei yang akan datang, mempunyai asas pendidikan ugama sekurang-kurangnya hingga Darjah VI yang mana ianya juga adalah bagi melengkapkan mereka sebagai seorang Muslim/Muslimah yang dapat menunaikan fardu ain.
Yang Berhormat berkata, ianya berbeza apabila mereka masuk sekolah menengah dan mengikuti pelajaran Islamic Religious Knowledge (IRK), yang mana subjek IRK itu adalah untuk melengkapi, mengemaskan dan mengukuhkan lagi apa yang sudah diajar di sekolah rendah.
Menyentuh mengenai jumlah kemasukan murid-murid ke Darjah Pra persekolahan ugama tahun ini, Yang Berhormat berkata, bahawa seramai 5,258 orang murid telah mendaftar di keempat-empat daerah.

070116 MASRI5 PRAUGAMA
YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama Timbalannya, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud beramah mesra bersama murid prasekolah yang baharu di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah (SUPAPMHB), Serusop.


"Jika dilihat dari perangkaan tersebut, ia menunjukkan satu petanda yang baik. Ertinya kalau ini berterusan, maka generasi Brunei akan datang merupakan generasi yang berpelajaran ugama," tambah Yang Berhormat.
Rombongan Yang Berhormat disertai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.
Tinjauan Menteri Hal Ehwal Ugama tersebut adalah bagi memastikan perjalanan pendaftaran murid-murid baharu Darjah Pra tahun 2016 ke sekolah-sekolah ugama di seluruh negara berjalan dengan sempurna dan teratur, selain memastikan pendaftaran dan kemasukan murid-murid tersebut menepati kehendak Akta Pendidikan Ugama Wajib (Penggal 215) yang mana tidak ada lagi kanak-kanak Islam di negara ini yang akan tercicir dari memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam.
Daripada jumlah keseluruhan pendaftaran murid-murid Darjah Pra di seluruh daerah iaitu 5,258 murid, Daerah Brunei dan Muara telah mencatatkan pendaftaran yang tertinggi dengan keramaian 3,764 orang murid-murid baharu.

070116 MASRI3 PRAUGAMA
YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama bapa kepada seorang murid prasekolah yang baharu mendaftar.
Semasa tinjauan tersebut, Yang Berhormat juga beramah mesra dengan murid-murid yang baharu mendaftar dan berinteraksi dengan ibu bapa dan penjaga murid-murid yang sama-sama berperanan besar dalam menanai tanggungjawab dan meninggikan lagi pendidikan Islam.
Seramai 92 murid baharu Darjah Pra didaftarkan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah yang mana 35 daripadanya mengikuti sesi pengajian ugama sebelah pagi, manakala 57 lagi mengikuti sesi pembelajaran ugama sebelah petang.
Semasa sesi pendaftaran tersebut, para ibu bapa dan penjaga murid-murid turut mendengarkan taklimat mengenai panduan dan makluman mengenai sekolah tersebut terutamanya bagi murid-murid baharu.
Dalam Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 antara lain menyatakan bahawa tiap-tiap ibu bapa hendaklah, jika anaknya adalah seorang kanak-kanak yang berumur wajib bersekolah ugama pada 1 Januari 2013, memastikan bahawa anaknya itu didaftarkan sebagai seorang murid di sebuah sekolah ugama pada tahun itu dan terus menjadi seorang murid bagi tempoh pendidikan ugama wajib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan