BERAKAS, Khamis, 26 Mei. -
Seramai 290 orang pelajar cemerlang di bidang akademik dalam
peperiksaan-peperiksaan awam bagi persekolahan Ugama dan Arab diraikan
pada Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang oleh Jabatan Pengajian
Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis penghargaan merupakan acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan pada tahun ini ianya diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan hadiah-hadiah penghargaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
YANG Berhormat
Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah
seorang penuntut dari Sekolah Pengajian Islam.
Pada majlis tersebut, sebanyak lima
kategori penghargaan diberikan iaitu, 128 pelajar terbaik dalam
Penilaian Sekolah Rendah, 41 pelajar terbaik dalam Sijil Sekolah-sekolah
Rendah Ugama Darjah VI, 62 pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Ugama
Brunei, 54 pelajar terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei dan
lima pelajar terbaik dalam Brunei Cambridge – General Certificate of
Education Advance Level (BCGCE 'A' Level).
Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang ini merupakan penghargaan yang berprestij bagi memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih pelajar-pelajar, sebagai insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.
Selain itu untuk memberi penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar atas sokongan dan dorongan mereka dalam sama-sama memastikan kejayaan anak-anak mereka dan membarigakan kepada masyarakat mengenai kecemerlangan akademik yang dicapai oleh pelajar-pelajar persekolahan Ugama dan Arab dalam bidang-bidang Ugama / Arab dan Sains.
Salah seorang penerima pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini semasa ditemui mengongsikan cara pembelajarannya, di mana beliau akan mengulangkaji pelajaran selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh, dan mengambil rehat seketika sebelum meneruskan lagi ulangkaji beliau pada waktu pagi dan juga petang.
PENERIMA pencapaian terbaik dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini.
Di samping itu, Dayang Nur Maizatul yang
bersekolah di Sekolah Ugama Batalion Kedua, Tutong Kem menjelaskan
bahawa beliau juga akan cuba menulis ringkasan daripada apa yang
diulangkajinya selain mengikuti kelas-kelas tambahan yang diajar sendiri
oleh guru subjek mereka.
Anak ketiga daripada empat beradik ini turut melahirkan harapannya yang ingin meraih lagi kejayaan yang cemerlang di peringkat seterusnya dan cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang doktor.
Sementara itu, Dayang 'Aliyah binti Haji
Mat Dani, pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah
(SMALHB) merupakan pelajar terbaik dalam BCGCE 'A' Level dan Sijil
Tinggi Pelajaran Ugama.
PELAJAR terbaik dalam BCGCE
'A' Level dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama (STPUB), Dayang 'Aliyah binti
Haji Mat Dani dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah
(SMALHB).
Menurutnya, cara beliau mengulangkaji pelajaran ialah dengan membahagikan buku-buku yang perlu diulangkaji dan tidak mencampuradukkan buku-buku tersebut agar tidak ada kekeliruan.
Memandangkan beliau mengikuti pengajian dalam dua aliran iaitu Arab dan peringkat 'A' Level, masa mengulang kaji pelajaran jelasnya, perlu dibahagikan, di mana beliau juga ada mengulang kaji bersama rakan-rakan kelas beliau iaitu melalui 'Study Group' kerana baginya ianya banyak membantu lagi dalam pelajaran mereka.
Perancangan masa depan Dayang 'Aliyah adalah untuk melanjutkan lagi pengajiannya di peringkat yang lebih tinggi di mana beliau sudah memohon bagi menyambung pengajian di beberapa buah universiti dalam dan juga luar negara.
- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan