Isnin, 23 Mei 2016

Amalkan hidup berjimat cermat

Oleh:  Hezlinawati Haji Abdul Karim / Foto : Ah Chua

TEMBURONG, Sabtu, 16 April. - Para pelajar disaran untuk menghayati dan mengamalkan budaya hidup berjimat cermat agar kehidupan mereka terjamin untuk kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Ini memandangkan amalan hidup berjimat cermat akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah.

Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Demikian antara yang terkandung di dalam tazkirah mengenai 'Berjimat Cermat Amalan Mulia' semasa berlangsungnya Program Keagamaan Senegara di Sekolah Ugama Amo, Mukim Amo, di sini.

160416 CHUA3 PKST 
PROGRAM Keagamaan Senegara 1437H/2016M bagi bulan April mengenai 'Berjimat Cermat Amalan Mulia' di Sekolah Ugama Amo.

Tazkirah yang disampaikan oleh tenaga pengajar sekolah agama tersebut, Dayang Salhawa binti Suri itu juga menasihatkan agar para pelajar sentiasa berjimat cermat dan mengambil berat untuk menabung dari sejak kecil dan mereka harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah dengan menyimpan wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka manakala ibu bapa pula disaran membuka akaun simpanan untuk anak-anak mereka.

Dayang Salhawa juga menyarankan agar para pelajar berbelanja sekadar mengikut kemampuan sebenar sahaja dan sebaik-baiknya biarlah berbelanja secara sederhana.

Menyentuh faedah berjimat cermat pula beliau menjelaskan amalan sedemikian dapat melatih diri daripada melakukan pembaziran, amalan ini juga perlu dititikberatkan kerana menjadikan seseorang itu berdisiplin tinggi.

Berjimat cermat juga katanya lagi, dapat menginsafkan diri dan mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masaalah hutang.

160416 CHUA1 PKSTSEBAHAGIAN pelajar Sekolah Ugama Amo yang menyertai Program Keagamaan Senegara 1437H/2016M bagi bulan April.

Program Keagamaan Senegara 1437 Hijrah/2016 Masihi bagi bulan April yang memberi tumpuan mengenai berjimat cermat itu juga disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai oleh para pelajar Sekolah Ugama Amo dan tenaga-tenaga pengajar sekolah agama berkenaan serta para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam (JPI) Cawangan Daerah Temburong, dipimpin oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Amo, Awang Haji Reduan bin Haji Rosman.

Bacaan selawat oleh para peserta program juga memeriahkan lagi program anjuran JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Amo, Awang Dzul Fadly bin Haji Abdul Latip.

- Pelita Brunei Online. Ahad, 17 April 2016.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan