Rabu, 25 Mei 2016

Persiapan penting hadapi peperiksaan

Oleh:  Berita dan Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim.

TEMBURONG, Khamis, 19 Mei. - Antara persediaan asas dalam persiapan menghadapi peperiksaan ialah semangat tinggi, pembacaan banyak, kefahaman jelas, ulang kaji berterusan dan keyakinan diri.

Perkara itu antara yang terkandung dalam tazkirah yang berlangsung dalam Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi dengan tumpuan media di Sekolah Ugama Negalang, Mukim Batu Apoi, di sini.

Tazkirah yang dibacakan oleh tenaga pengajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Idaham bin Haji Talib juga menjelaskan bahawa persediaan pada peringkat awal secara berterusan dengan mengamalkan cara kaedah pembelajaran yang betul adalah perlu dalam menghadapi peperiksaan secara berkesan.

Namun jelasnya, masih ramai juga pelajar yang tidak menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan banyak masa pada saat awal hinggalah ke akhirnya, malahan ramai menjadi hilang tumpuan pada saat-saat akhir.
190516 HEZ1 TEMB
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Ugama Negalang yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi Bulan Mei 1437 Hijrah / 2016 Masihi.

Beliau seterusnya mengongsikan beberapa persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi peperiksaan antaranya mengorbankan perkara-perkara yang tidak penting seperti menonton televisyen, mengurangkan penggunaan internet, membaca novel dan sebagainya.

Persiapan juga termasuklah memulakan sesi pembelajaran atau mengulang kaji dengan niat untuk berjaya dan perlulah ke arah kebaikan dan disertai dengan keikhlasan, di samping sentiasa berfikiran positif.

Program dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Awang Mohammad Idaham yang juga membacakan Doa Peperiksaan dan diselajurkan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.

Pada program anjuran Jabatan Pengajian Islam itu, Doa Khas Hari Keluarga dibacakan oleh tenaga pengajar Sekolah Ugama Negalang, Awang Mohammad Afandi bin Abdullah, sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh salah seorang pelajar di sekolah ugama tersebut, Awang Mohammad Wabil bin Zunaidi.

- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan