Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman semasa berucap selaku tetamu kehormat majlis.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mei. - Kementerian
Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI) akan terus
berusaha meningkatkan dan memajukan pembelajaran ugama serta
persekolahan ugama dan Arab di negara ini.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat
Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin
bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, tanggungjawab terhadap
pelajaran ugama dan persekolahannya serta persekolahan Arab adalah sudah
menjadi tanggungjawab kerajaan.
Demikian jelas Yang Berhormat pada
Majlis Penghargaan Pelajar-Pelajar Cemerlang 1436 Hijrah / 2015 Masihi
di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Yang Berhormat menambah tanggungjawab
itu selaras dan seiring dengan tanggungjawab-tanggungjawab dalam
bidang-bidang lain yang diurus dan dikendalikan oleh kerajaan.
"Itulah yang cantiknya sistem
berkerajaan dan berpemerintahan beraja kita di Brunei. Sepanjang sejarah
yang diketahui, ehwal ugama adalah ehwal negara dan kerajaan. Lalu
sampai ke zaman ini pun demikian. Sehingga kesan pengaruh ugama itu
sangat penting dalam sistem sosial-politik Brunei," ujar Yang Berhormat.
Menteri Hal Ehwal Ugama turut
mengingatkan semula mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang letaknya
ugama bagi Negara Brunei Darussalam iaitu di depan, jadi panduan.
Yang Berhormat menambah, kerana itu kita
yang berkhidmat dalam urusan ugama, baik di Kementerian Hal Ehwal Ugama
mahupun lain-lain kementerian dan agensi kerajaan, adalah
bertanggungjawab untuk memastikan nilai ugama yang diletak di hadapan,
jadi panduan itu benar-benar menepati maknanya iaitu dengan memberikan
khidmat yang cemerlang dalam tugas dan tanggungjawab yang disandang,
dengan semangat dan kesedaran yang tinggi sambil menyedari kepentingan
bekerjasama akan memberikan khidmat yang cemerlang.
"Bekerjasama dalam berkhidmat itu tidak
sahaja di kalangan sesama kita orang ugama bahkan dengan rakan-rakan di
luar rangkaian perkhidmatan ugama. Itulah yang dilakukan dan berjalan
dengan baik sejak dari awal lagi di mana Brunei menyaksikan dan
mengalu-alukan anak watannya yang kembali dari belajar di luar negeri,
dari United Kingdom dan dari Mesir pada awal tahun 60an telah
diadun-serasikan untuk berganding bahu memberikan khidmat kepada tanah
air di bawah kepimpinan bijaksana Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang kesinambungan dasar itu telah
berkembang dengan baiknya pada era pemerintahan sekarang di bawah
kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah," jelas Menteri Hal Ehwal Ugama.
Dan hasilnya, ujar Yang Berhormat ialah
Brunei menyaksikan dan mengalami kemantapan sosial politik berkat
kerjasama dan persefahaman yang menyeluruh itu.
Menurut Yang Berhormat lagi, tugas dan
tanggungjawab KHEU seterusnya ialah memastikan pelajaran dan
persekolahan ugama dan Arab tetap signifikan dan relevan.
"Ke arah itulah sekarang hala tuju kita
di kementerian meletakkan prioriti tugas yang akan disempurnakan dalam
jangka waktu yang singkat, iaitu dalam bidang pelajaran ugama,
persekolahan ugama dan Arab kita akan bekerja untuk mengemaskannya,"
terang Yang Berhormat.
Mengemaskannya, ujar Yang Berhormat
bermaksud dari segi sukatan dan kurikulum khasnya bagi memastikan mutu
pendidikan ugama yang diajarkan kepada anak-anak generasi Brunei
benar-benar berhasil menjadikan mereka generasi muslim yang pandai
membaca Al-Quran pada tahap yang sempurna, pandai dan mengamalkan ibadat
terutama sekali sembahyang juga pada tahap yang sempurna.
- Pelita Brunei Online. Jumaat, 27 Mei 2016M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan