BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 25 Januari. -
Pengajaran dengan sistem talaqqi merupakan sistem tradisi yang
diperkenalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
sendiri. Ini jelas bila mana Baginda mendapat wahyu dan mempelajari
Al-Quran adalah melalui malaikat Jibril Alaihissalam.
Saban tahun juga hingga ke tahun kewafatan Baginda, Baginda
mengulang, menghalusi dan mengemaskan bacaan di hadapan baginda Jibril
Alaihissalam (maksud hadis riwayat Bukhari).
Baginda tidak mengulangnya sendiri meskipun Baginda sudah mengetahui
cara bacaannya. Inilah yang digelar dalam istilah pengajaran dan
pembelajaran sebagai bertalaqqi.
Sistem ini adalah metodologi-metodologi pengajian Islam tulen yang
melahirkan para ulama Islam berkepakaran, berwibawa dan mempunyai
sahsiah tinggi lagi terpuji.
Talaqqi ialah sistem pengajaran yang menuntut pertemuan guru dengan
murid secara bersemuka. Sesi pengajaran dan pembelajaran adalah secara
berdepan dan guru membaca kitab yang diajarkan dari kulit ke kulit. Di
samping itu, para pelajar juga membaca di depan sang guru mengikut
giliran yang bersesuaian.
SEBAHAGIAN penuntut sedang menjalani sistem pengajaran pertemuan guru dengan murid secara bersemuka.
Seterusnya sesi talaqqi ini diisi dengan penerangan mendalam mengenai
tajuk yang dipelajari dan para pelajar dipandu oleh guru tentang
bagaimana memahami perbincangan kitab tersebut.
Guru yang mengajar pula adalah seorang yang mempunyai sanad yang
bersambung zaman berzaman dan jika ia dalam kitab matan hadis ia akan
bersambung sehingga pada sumber awal, iaitu Baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam.
Ia merupakan tradisi pengajian Islam yang bertujuan untuk memastikan
apa yang diterima oleh murid adalah betul, tepat dan benar-benar sejajar
dengan apa yang disampaikan oleh Allah Subahanahu Wata'ala kepada
murabbi awal, iaitu Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sistem ini nampak agak ketat dan sangat teliti, namun sudah
semestinya ia demikian kerana ilmu yang dicurah terima adalah berkait
hal agama dan agama pula pemiliknya ialah Yang Maha Agung Pemilik alam
maya ini. Justeru, tidak hairanlah pengajian talaqqi ini sangat tinggi
tahap autoritinya.
Memandangkan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) merupakan
institusi pengajian tinggi Islam tulen di negara ini yang diamanahkan
untuk menggembleng upayanya demi melahirkan graduan yang soleh dan
berwibawa, keperluan memperkenalkan keunikan metodologi pengajaran
tradisi ini perlu menjadi agenda utama.
Yang demikian itu, UNISSA melalui Felo Kolej Kediaman, Bahagian Hal
Ehwal Pelajar mengadakan Program talaqqi kitab-kitab turath. Bahan
bacaan yang akan diikuti dalam pengajian talaqqi ini juga merupakan
kitab para ulama dan tokoh Islam terkemuka, antaranya kitab Ihya
'Ulumuddin, Matan Jawhar al-Tauhid, al-Rahiq al-Makhtum dan yang
lainnya. Kitab-kitab ini banyak mencorak keperibadian tokoh-tokoh dan
sarjana dunia sejak sekian lama.
Program berkenaan dimulai oleh pengajian talaqqi kitab Ilya
'Ulumuddin di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Usuluddin, Dr. Sayyed
Abdul Hamid al-Mahdaly.
Program ini seterusnya dihasratkan untuk mendedahkan dan mendidik
para pelajar UNISSA khususnya serta masyarakat amnya akan kaedah dalam
berinteraksi dengan kitab-kitab turath.
Kitab turath ialah khazanah ilmu yang merupakan sumber primer dalam
pengajian Islam di mana pengarangnya menghimpun segenap catatan ilmu
dari kuliah dan halaqah talaqqi beliau bersama tuan gurunya.
Hal ini termasuklah catatan hadis dalam karya-karya para ulama hadis
seperti Sahih Bukhari yang di dalamnya dihimpun hadis-hadis sahih yang
diambil secara talaqqi daripada para guru Imam Bukhari sendiri justeru
melalui tahap penilaian dan disusun mengikut kesesuaiannya.
Pengajian talaqqi kitab turath ini seterusnya diharapkan dapat
memperkasa ilmu-ilmu asas yang menjadi tunjang dalam pengajian Islam
lantas dapat membendung segala ancaman fahaman-fahaman baharu yang tidak
sealiran dengan amalan beragama di Negara Brunei Darussalam.
Kepada yang berminat untuk mengikuti program ini dialu-alukan untuk
menghubungi Felo Kolej Kediaman Siswa, UNISSA, Dr. Ahmad Baha Mokhtar,
melalui talian +673 8643803 atau Felo Kolej Kediaman Siswi, UNISSA,
Dayang Hajah Nurol Halimatulwara' binti Haji Mumin, melalui talian +673
8866875.
- Pelita Brunei Online. Rabu, 27 Januari 2016M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan