Gambar Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan supaya
perhatian berat terhadap Al-Quran hendaklah diteruskan melalui cara
berterusan memikir, merancang dan melaksanakan program-program yang
bersesuaian.
Baginda juga menekankan peri mustahak difikirkan mengenai bagaimana
cara untuk meningkatkan keberkesanan mata pelajaran Al-Quran di
sekolah-sekolah agama memandangkan pencapaian bacaan Al-Quran di
sekolah-sekolah agama pada masa ini masih di tahap yang memerlukan
pembaikan dan peningkatan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara ini dalam titah
Baginda pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir
Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi yang berlangsung di Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.
Titah Baginda, apa yang mustahak di peringkat kanak-kanak ini ialah
untuk menjadikan mereka itu betul-betul pandai membaca Al-Quran dan
inilah yang lebih mustahak disempurnakan sebelum berbangkit mengenai
pemahaman ayat-ayatnya dan lain-lain.
Baginda Sultan berkenan menganugerahkan piala kepada johan Qari
Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan
Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran
Haji Marjuki.
Pada hemat Baginda, di samping pembaikan membaca Al-Quran di
peringkat rendah, adalah lebih baik diteruskan membuat kajian mengenai
kemampuan penuntut-penuntut sekolah menengah dalam membaca Al-Quran.
Ini kerana walaupun mereka sudah belajar membaca Al-Quran melalui
persekolahan agama sehingga darjah enam tapi terdapat tanda-tanda mutu
bacaan Al-Quran mereka itu belum sebaik yang diharapkan, titah Baginda.
“Apabila mutu bacaan Al-Quran itu belum sampai ke tahap seperti apa
yang diharapkan, ini bererti kajian segera dan realistik perlu
dijalankan.
“Sayugia diingat keperluan untuk memperbaiki sistem pembelajaran
Al-Quran terutama bagi sekolah-sekolah agama, sangatlah mendesak kerana
persekolahan agama itu merupakan asas dan teras dalam sistem pendidikan
negara pada keseluruhannya. Oleh itu asas ini perlulah kuat untuk
memperkemas pendidikan bangsa.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut melahirkan rasa syukur dengan
penganjuran Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir
Kebangsaan yang kini sudah memasuki kali ke-56, yakni sudah lebih
setengah abad negara menganjurkan musabaqah bacaan Al-Quran peringkat
dewasa.
Menurut Baginda, selama 56 tahun itu banyak melahirkan Qari dan
Qariah dan di antara mereka ada yang berpeluang mewakili negara ke
musabaqah di luar negara.
“Kita berasa bangga, apabila ada di antara mereka yang mencapai mutu bacaan yang baik dan menggalakkan.
“Kita juga bersyukur kerana semua peringkat, musabaqah membaca
Al-Quran yang diadakan di negara ini, khasnya murid-murid sekolah dan
belia-belia adalah memberi makna bahawa, kitab suci Al-Quran itu
benar-benar kita hayati dan tidak diabaikan.
“Maksud Beta ialah, kita di negara ini sangat memberikan perhatian
kepada Al-Quran, kita tidak meringan-ringankannya tapi terus memelihara
memartabatkannya termasuk melalui pelbagai program mengenai Al-Quran.
“Selain mengadakan program mempelajarinya menerusi sistem
persekolahan agama di samping mengadakan program menghafaz hingga
membawa mempelajari ilmu Qiraat Al-Quran di Institut Thafiz Al-Quran
Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang melayakkan lepasannya melanjutkannya
pengajian Ilmu Qiraat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sebagai langkah mengembang dan menyebar luaskan lagi ilmu dan amalan
menghafaz Al-Quran itu, kita juga ada menganjurkan Program Huffaz iaitu
program melahirkan penghafaz dan pengamal hafazan Al-Quran dalam
kalangan orang ramai.”
Titah Baginda, setakat ini 163 orang telah diperakukan sebagai huffaz
iaitu penghafaz dan pengamal hafazan Al-Quran dalam kategori hafazan
10, 20 dan 30 Juzuk.
Mereka ini titah Baginda lagi, diperiksa menerusi ujian Tasmiqnya di
mana Tasmiq pada setiap tahun sebelum mereka layak untuk menerima elaun
galakan.
Di samping itu, kita juga telah menerbitkan Mushaf Brunei Darussalam
tulisan tangan yang disusuli dengan penerbitan tafsir Mushab Brunei
Darussalam dan terjemahannya.
Baginda seterusnya bertitah, perhatian dalam Al-Quran setakat ini
adalah sebagai tanda menunaikan tanggungjawab beragama dengan sempurna
dan dalam masa yang sama, bertabaruk atau mengambil berat daripadanya
kerana kitab suci Al-Quran itu adalah pembawa keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa ta’ala.
- Pelita Brunei Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan