KEBAWAH Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin
Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul
Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
ketika berkenan mengurniakan titah dalam Majlis Musabaqah Membaca
Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437
Hijrah/2016 Masihi.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 April. -
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam bertitah menekankan supaya perhatian berat terhadap
Al-Quran hendaklah diteruskan.
Bagi tujuan itu, baginda bertitah supaya
adanya usaha-usaha yang berterusan untuk difikirkan, dirancang dan
dilaksanakan bagi program-program yang bersesuaian.
Baginda berkenan
mengurniakan titah demikian pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran
Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi
(Malam Ketiga) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, di
sini.
"Pada hemat beta, adalah juga mustahak
difikirkan tentang bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan mata
pelajaran Al-Quran itu di sekolah-sekolah ugama. Kerana setahu umum,
pencapaian bacaan Al-Quran di sekolah-sekolah ugama itu masih saja di
tahap memerlukan pembaikan dan peningkatan," titah baginda.
Apa yang mustahak di peringkat
kanak-kanak ini titah baginda ialah untuk menjadikan mereka itu
'betul-betul pandai' membaca Al-Quran kerana ianya lebih mustahak
disempurnakan sebelum berbangkit tentang pemahaman ayat-ayatnya dan
lain-lain.
Kebawah DYMM percaya, di samping
pembaikan bacaan Al-Quran di peringkat rendah, elok juga diselajurkan
untuk membuat kajian tentang kemampuan penuntut-penuntut sekolah
menengah dalam bidang membaca Al-Quran.
Baginda seterusnya bertitah, walaupun
mereka sudah belajar membaca Al-Quran melalui persekolahan ugama
sehingga darjah enam, namun ada tanda-tanda yang mutu bacaan Al-Quran
mereka itu juga belumlah sebaik yang diharapkan.
"Apabila mutu bacaan Al-Quran mereka itu
belum sampai ke tahap seperti yang diharapkan, maka bererti kajian yang
segera dan realistik perlulah dijalankan," tegas baginda.
Dengan yang demikian baginda bertitah
mengingatkan bahawa keperluan untuk memperbaiki sistem pembelajaran
Al-Quran, terutama bagi sekolah-sekolah ugama, sangatlah mendesak,
kerana persekolahan ugama itu merupakan asas dan teras dalam sistem
pendidikan negara pada keseluruhannya.
Oleh itu tambah titah baginda, asas ini perlulah kuat untuk memperkemas pendidikan bangsa.
Bertitah menyentuh mengenai Musabaqah
Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan, Kebawah
DYMM bertitah melahirkan harapan agar ianya akan menampilkan qari dan
qariah yang terbaik di antara semua peserta kerana mereka akan
berhadapan dengan keadaan yang lebih mencabar selepas ini.
- Pelita Brunei Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan