TUTONG, Khamis, 19 Mei. -
Persediaan asas perlu ada pada setiap murid seperti semangat tinggi,
banyak membaca, kefahaman jelas, ulang kaji berterusan dan keyakinan
diri sebelum menghadapi peperiksaan.
Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam
(JPI) sentiasa berusaha mencorakkan masa depan murid dengan memberikan
penerangan kepada pelajar-pelajar agar lebih bersemangat tinggi dan
mengetahui hala tuju untuk mencapai kejayaan.
Justeru itu, JPI mengadakan Program
Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab yang mana pada bulan Mei
tema program adalah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan'.
Bagi Daerah Tutong tumpuan program tersebut pada sebelah petang diadakan bertempat di Sekolah Ugama Kiudang, di sini.
PROGRAM
Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi bulan Mei 2016
bertemakan 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' diadakan di Sekolah Ugama
Kiudang bagi sesi petang sekolah ugama di Daerah Tutong.
Lebih 50 pelajar sekolah berkenaan dari
Darjah Pra hingga Darjah VI mengikuti program keagamaan tersebut yang
menumpukan mengenai langkah-langkah yang wajar diambil perhatian oleh
setiap pelajar sebelum menghadapi peperiksaan.
Terdahulu, program diisikan dengan
Tazkirah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan' yang disampaikan oleg Guru
Mata Pelajaran Sekolah Ugama Kiudang, Awang Mohd. Khairul Hazman bin
Haji Baha yang antara lain menjelaskan mengenai 'tips' dan
langkah-langkah yang digariskan dan sewajarnya diambil perhatian oleh
setiap pelajar.
Jelasnya, pelajar-pelajar perlu
mempunyai pengorbanan yang besar terhadap pelajaran dengan mengetepikan
pada perkara-perkara yang tidak penting dan membuang masa, sentiasa
mengulang kaji pelajaran dengan niat untuk berjaya dan perlulah disertai
dengan keikhlasan serta sentiasa menyemak jadual peperiksaan kerana ia
sangat penting.
Di samping itu jelasnya, para pelajar
hendaklah sentiasa berfikiran positif dan hilangkan rasa stres, bersedia
dengan keperluan peperiksaan serta memohon restu juga maaf kepada kedua
ibu bapa serta guru yang mengajar.
SELAIN
daripada tazkirah 'Persiapan Menghadapi Peperiksaan', usaha turut
digandakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi murid-murid
Sekolah Ugama Kiudang dalam Program Keagamaan Senegara Persekolahan
Ugama dan Arab.
Selain itu katanya, para pelajar jangan
terlalu banyak ketawa dan bergurau senda yang melampau di mana ia boleh
menyebabkan pertukaran cecair kimia badan menyebabkan fikiran akan
terganggu dan hendaklah menjaga pemakanan jangan sampai berulang-alik ke
tandas yang mengakibatkan konsentrasi pelajar terganggu ketika
menghadapi peperiksaan serta banyakan berdoa dan bertawakal kepada
Allah.
Sejurus selepas itu, program diikuti
dengan aktiviti atau amalan dalam menghadapi peperiksaan seperti
Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa
Peperiksaan serta Doa Khas Keluarga yang dipimpin oleh guru sekolah
berkenaan, Awang Mohd. Usllyzam bin Budin.
Program seumpama ini diadakan bagi
merealisasikan Rancangan Strategik JPI dalam meningkatkan peratus
pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan ugama.
Ini sekali gus meningkatkan keberkesanan
program kokurikulum, di samping melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak
yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum dengan melibatkan
semua pelajar mengikuti program penghayatan beragama.
- Pelita Brunei Online. Jumaat, 20 Mei 2016M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan